Rakyat Malaysia dinasihat tangguh lawatan tidak perlu ke Thailand

Bernama
Mei 21, 2014 08:34 MYT
Tentera Thai melakukan rondaan dalam sebuah jip yang dilengkapi mesingan di Bangkok. -- AFP PHOTO/Christophe ARCHAMBAULT
Rakyat Malaysia dinasihat menimbangkan untuk menangguhkan lawatan tidak perlu ke Thailand susulan penguatkuasaan undang-undang tentera oleh Tentera Diraja Thailand.
Kementerian Luar berkata rakyat Malaysia yang kini berada di Thailand perlu berwaspada dan memantau perkembangan menerusi media tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya terdapat 596 rakyat Malaysia tinggal di Thailand yang telah berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.
"Tiada laporan berhubung rakyat Malaysia yang terjejas dengan perkembangan terkini di Thailand," menurut kementerian itu.
Katanya Malaysia berharap semua pihak di Thailand terus berusaha untuk mencari penyelesaian secara aman terhadap kemelut yang dihadapi di negara itu.
Malaysia akan terus memantau perkembangan politik di Thailand, menurut kenyataan itu.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsulat boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok di talian +662 629 6800 (pada waktu bekerja) atau +687 028 4659 (selepas waktu bekerja).
#kemelut Thailand #rakyat Malaysia #Tentera Diraja Thailand
;