Rakyat Malaysia dinasihat elak lawati Thailand - Kementerian Luar Negeri

Media Statement
Mei 23, 2014 08:57 MYT
xxx
Berikut ialah kenyataan penuh Kementerian Luar Negeri mengenai situasi semasa di Bangkok, Thailand:
Malaysia terus memantau secara dekat perkembangan situasi politik di Thailand, termasuk pengumuman oleh pihak tentera Thailand pada 22 Mei 2014 bahawa pihaknya telah mengambil alih kuasa Kerajaan negara tersebut.
Malaysia tetap dengan pendirian dan berharap agar semua pihak akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian secara aman berhubung isu-isu yang dihadapi oleh Thailand. Malaysia juga berharap agar keadaan di negara itu akan kembali seperti biasa dalam tempoh terdekat.
Sejurus selepas pengumuman oleh pihak tentera Thailand, National Peace and Order Maintaining Council (NPOMC) telah menguatkuasakan perintah berkurung bermula jam 10 malam hingga 5 pagi bagi seluruh Thailand sehingga notis seterusnya dikeluarkan. Di bawah perintah ini, seluruh penduduk Thailand dilarang meninggalkan kediaman masing-masing sepanjang tempoh tersebut.
Berdasarkan perkembangan tersebut, Kementerian Luar Negeri ingin menasihatkan semua rakyat Malaysia agar mengelakkan diri dari melawat Thailand.
Rakyat Malaysia perlu mempertimbangkan, buat masa ini, untuk menunda sebarang lawatan yang dirasakan tidak perlu ke negara tersebut atas faktor keselamatan.
Kementerian Luar Negeri juga ingin menasihatkan warganegara Malaysia yang sedang berada di Thailand agar mematuhi perintah berkurung yang telah dikuatkuasakan baru-baru ini dan menyimpan bekalan makanan dan air yang mencukupi di rumah masing-masing.
Rakyat Malaysia juga dinasihatkan agar sentiasa peka dan mengikuti perkembangan semasa melalui media tempatan dan antarabangsa (cetak dan elektronik). Setakat ini, tiada sebarang laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas teruk berikutan perkembangan terbaru di Thailand.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, seperti berikut:
Kedutaan Besar Malaysia, Bangkok
33-35 South Sathorn Road
Tungmahamek
10120 Bangkok, Thailand
Tel: +662 629 6800 (waktu pejabat) atau
+6687 028 4659 (selepas waktu pejabat)
Faks: +662 679 2208 / +662 679 2270
Emel: malbangkok@kln.gov.my
#Kementerian Luar Negeri #rakyat Malaysia #rampasan kuasa #tentera #Thailand
;