Rakyat Malaysia dijangka bekerja lebih lama pada masa depan - Mustapa Mohamed
Astro Awani
November 24, 2020 11:30 MYT
November 24, 2020 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dijangka akan bekerja lebih lama pada masa depan bagi memastikan perlindungan kewangan yang mencukupi untuk hari tua.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beberapa dasar diperlukan dalam usaha memupuk produktiviti pekerja termasuk peningkatan peluang latihan dan pembelajaran sepanjang hayat.
Beliau berkata, dasar berkenaan akan membolehkan rakyat Malaysia bekerja lebih lama, menjalani kehidupan yang lebih sihat, sekali gus memperbanyakkan penggunaan sistem digitalisasi di tempat kerja
"Pada masa depan, rakyat Malaysia perlu bekerja lebih lama untuk memastikan perlindungan kewangan yang mencukupi pada usia tua.
"Dalam menuju negara berpendapatan tinggi, waktu bekerja lebih lama, akan disesuaikan secara berperingkat selaras dengan usia kebanyakan rakyat Malaysia untuk bersara," katanya, di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian dalam siaran langsung di laman Facebooknya berhubung laporan Bank Dunia bertajuk, “A Silver Lining: Productive and Inclusive Aging for Malaysia”, di sini.
Berdasarkan laporan tersebut, lebih daripada tujuh peratus daripada populasi penduduk negara ini akan berusia 65 tahun ke atas pada 2020, di mana Malaysia menjadi masyarakat tua.
Mengulas lanjut, beliau berkata sangat penting untuk meneruskan kemantapan infrastruktur penjagaan orang tua dan standard perkhidmatan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan penghuni rumah penjagaan orang tua terjamin, khususnya ketika pandemik COVID-19.
Justeru, Mustapa menambah, skim perlindungan golongan berpendapatan rendah kepada warga emas memerlukan penambahbaikan berterusan dalam melindungi dan memenuhi skim insurans sosial.
"Skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berada pada landasan yang betul, tetapi ia kekal pada skop untuk menguatkan jalinan antara skim-skim ini, dan untuk kolaborasi bersama persatuan-persatuan industri," katanya lagi.
Walau bagaimanapun beliau berkata, dengan langkah yang proaktif, skim insurans sosial tersebut dilihat akan mampu untuk melindungi semua tenaga buruh.
Justeru, Mustapa berkata cukai ke atas persaraan diperlukan dan disasarkan secara lebih meluas.