Rakyat Malaysia digalakkan untuk sertai aktiviti kemanusiaan -MSF
Dania Zainuddin
Disember 21, 2018 06:00 MYT
Disember 21, 2018 06:00 MYT
Medecins Sans Frontieres (MSF) atau lebih dikenali sebagai Doctors Without Borders mengalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemanusiaan, tidak kira dalam bidang perubatan atau bukan perubatan.
Menurut Pengurus Sumber Manusia MSF Hong Kong, Karmina Aguila, rakyat Malaysia yang terlibat dalam MSF kurang dari 1 peratus dari jumlah lebih 30,000 orang yang giat aktif dalam kerja-kerja MSF di seluruh dunia.
“Kami mengalakkan kepelbagaian warganegara dalam organisasi kami. Kami tidak mahu dilihat sebagai organisasi yang hanya tumpu kepada satu warganegara. Ia sukar untuk dilaksanakan jika tidak ramai yang mendaftar untuk menyertai MSF.
“Buat masa ini, kami dapati jumlah rakyat Malaysia masih kurang di MSF, dan kami mahu memberitahu terdapat banyak peluang di MSF bukan sahaja kepada pakar perubatan, tetapi juga mereka dalam bidang bukan perubatan, seperti jurutera, pengurusan dan sumber manusia,” kata Karmina ketika ditemui Astro AWANI pada acara ‘A Day With MSF’ di sini, baru-baru ini.
Jelas Karmina, proses penyerapan masuk ke MSF melibatkan satu ujian untuk mengenalpasti tahap kesediaan emosi seseorang individu untuk menyertai MSF.
“Ujian ini akan memberi satu gambaran tahap kesediaan mereka, kerana kita tidak pasti tentang persekitaran tempat tinggal, mungkin anda kene tinggal di sebuah kem, dan berkongsi tandas, tanpa kemudahan komunikasi seperti internet dan sebagainya.
“Jika ini menjadi satu tekanan kepada individu, kami akan ambil kira kerana kami menitik beratkan tahap kesihatan mental, kami mahu pastikan semua bersedia
“Tetapi semua yang terpilih untuk menyertai misi akan jalani latihan, bukan sahaja di Hong Kong, tetapi di ibu pejabat MSF di Brussels. Mereka akan diberitahu secara terperinci tentang misi termasuk maklumat keselamatan.
Bagaimanapun, Karmina tidak menafikan pengalaman yang begitu berharga apabila seseorang itu menyertai misi kemanusiaan.
“Tentunya, mereka akan terdedah dengan pelbagai senario. Contohnya jika di negara sendiri, mereka mungkin tidak terdedah dengan beberapa penyakit atau kondisi dan di sini mereka akan menimba pengalaman dan meningkatkan kemahiran mereka.
“Mereka juga berpeluang untuk mendapat pengalaman menjadi pemimpin, kerana mereka akan menguruskan satu pasukan,” katanya.
Jelasnya, ketika ini MSF aktif dan terlibat dengan negara South Sudan, Afghanistan, Congo, Iraq, Bangladesh dan Nigeria.
Karmina mengakui, MSF memerlukan lebih ramai pakar perubatan dan bukan pakar perubatan kerana setiap tahun apabila sesuatu tragedi berlaku, terdapat keperluan untuk MSF untuk membuka pusat perubatan atau hospital untuk membantu golongan yang tidak bernasib di seluruh dunia.
#Afghanistan
#Astro
#Astro Awani
#Bangladesh
#Doctors Without Borders
#Hong Kong
#Hospital
#Internet
#Iraq
#kemanusiaan
#keselamatan
#kesihatan
#Malaysia
#MSF
#Nigeria
#perubatan
#rakyat