Rakyat Malaysia diberi pengecualian visa 30 hari ke India mulai 1 Julai ini
Umavathi Ramayah
Jun 29, 2024 19:25 MYT
Jun 29, 2024 19:25 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi India ke Malaysia mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari kepada rakyat negara ini yang berkunjung ke negara itu, bermula 1 Julai ini hingga 30 Jun tahun depan.
Ringkasan AI
- Suruhanjaya Tinggi India ke Malaysia mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari kepada rakyat Malaysia yang berkunjung ke India bermula 1 Julai hingga 30 Jun tahun depan, terpakai untuk pemohon e-visa.
- Dengan e-visa, pelancong Malaysia boleh memasuki India sebanyak dua kali tanpa sebarang kos. Namun, permohonan visa selain visa pelancong tetap dikenakan bayaran seperti yang ditetapkan.
- Pengecualian ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat India ke Malaysia, sebagai sebahagian daripada hubungan dua hala strategik antara kedua-dua negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan suruhanjaya tinggi itu, pengecualian itu terpakai kepada pemohon visa elektronik atau e-visa.
"Menggunakan e-visa, pelancong Malaysia dibenarkan memasuki India sebanyak dua kali tanpa sebarang kos," katanya dalam kenyataan yang dikongsi di platform X suruhanjaya tinggi itu di sini, pada Sabtu.
Kenyataan itu menjelaskan, bagi permohonan selain visa pelancong, rakyat Malaysia masih dikenakan bayaran seperti yang ditetapkan.
Bayaran bagi e-visa ketika ini ditetapkan pada AS$40 (RM188).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat India ke Malaysia mulai 1 Disember lalu ini dalam semangat perkongsian strategik hubungan dua hala kedua-dua negara.
Beliau berkata, ia adalah tambahan kemudahan pengecualian visa sedia ada yang kini dinikmati rakyat dari Negara Teluk dan lain-lain negara di Asia Barat.