Rakyat Malaysia di UK teruja raikan Aidilfitri Keluarga Malaysia

Bernama
Mei 11, 2022 11:30 MYT
Ismail Sabri bergambar bersama rakyat Malaysia yang menetap di United Kingdom pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Keluarga Malaysia di London, 11 Mei 2022. -- fotoBERNAMA
LONDON: Tampil segak dengan berbaju Melayu dan anggun memakai baju kurung serta pakaian tradisional lain, terpancar keceriaan dan rasa teruja di wajah para tetamu yang menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Keluarga Malaysia di sini, Selasa.
Seakan berada bersama ahli keluarga dan suasana sambutan Aidilfitri di tanah air, sebahagian daripada 300 rakyat Malaysia yang menghadiri majlis Keluarga Malaysia di sini ternyata tidak melepaskan peluang bertanya khabar antara satu sama lain selepas sekian lama tidak bertemu dan meraikan 'rumah terbuka Hari Raya' berikutan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu.
Majlis sambutan Hari Raya Keluarga Malaysia bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan delegasi Malaysia menjadi manifestasi kerukunan dan hubungan rapat masyarakat majmuk Malaysia.
Kehadiran Ismail Sabri, yang dalam perjalanan ke Washington DC bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat, berada di ibu kota England untuk melawat Pameran Tenun Pahang Diraja dan sambutan hari raya itu, turut mengubat rindu mereka kepada tanah air dan juadah hidangan Malaysia.
"Saya gembira melihat hubungan Keluarga Malaysia yang begitu rapat tanpa mengira kaum, tanpa mengira agama. Semangat Keluarga Malaysia bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara. Saya bangga dengan apa yang saya lihat di London," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.
Perdana Menteri berkata kehadiran ramai rakyat Malaysia yang menetap di United Kingdom pada majlis itu mengujakannya dan beliau bangga melihat hubungan erat rakyat Malaysia antara satu sama lain tanpa mengira kaum dan agama bukan sahaja dalam kalangan penuntut, pekerja Malaysia tetapi juga dalam kalangan rakyat Malaysia di sini.
"Inilah sebenarnya impian saya untuk melihat rakyat Malaysia sebagai satu keluarga besar yang kita panggil keluarga Malaysia," katanya yang meluangkan masa kira-kira tiga jam pada majlis itu untuk bertanya khabar dan beramah mesra dengan para hadirin.
Beberapa rakyat Malaysia yang ditemui Bernama pada majlis berkenaan menyifatkan konsep Keluarga Malaysia yang diterapkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri itu adalah suatu hasrat murni yang harus didukung semua pihak.
Menurut mereka, aspirasi Keluarga Malaysia membawa harapan untuk rakyat pelbagai negara ini bersatu-padu dan bekerjasama erat dalam menghadapi apa jua cabaran yang mendatang demi kemajuan negara.
Bagi pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri, 35, yang sudah menetap di Victoria, United Kingdom sejak 18 tahun lalu, rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum perlu bersama-sama untuk membina Keluarga Malaysia, sekali gus merealisasikan hasrat menjadi Malaysia sebagai negara maju.
Melahirkan rasa gembira dapat menghadiri sambutan Hari Raya bersama ibunya, beliau mendoakan seluruh rakyat Malaysia sentiasa mendapat rahmat Allah SWT serta hidup aman damai, bersatu-padu dan bekerjasama antara satu sama lain untuk membina Keluarga Malaysia yang kuat untuk perpaduan seluruh rakyat Malaysia.
Sementara itu, penuntut tahun akhir bidang seni bina di De Monfort University Leicester, Farah Salim berkata berjauhan daripada keluarga dan berhari raya di perantauan adalah suatu pengalaman yang mengajarnya menjadi lebih matang untuk melayari bahtera kehidupan.
"Dapat menghadiri sambutan Hari Raya Keluarga Malaysia ini amat menceriakan kerana saya dapat berkenalan dengan ramai orang apatah lagi bertemu dan bersalaman dengan Perdana Menteri dan pemimpin negara yang lain," katanya.
Bagi penuntut jurusan undang-undang di University of Sheffield, Mohamad Iman berkata aspirasi Keluarga Malaysia adalah suatu 'payung besar' bagi rakyat Malaysia di mana jua mereka berada dan perlu bersama-sama berbakti kepada negara.
"Apa yang saya belajar di luar negara ini adalah untuk menimba pengalaman, idea dan ilmu untuk saya terapkan apabila kembali ke tanah air nanti," katanya dan berharap Malaysia akan mempunyai kestabilan politik dan kekuatan ekonomi untuk membolehkan negara kembali bangkit dan pulih selepas pandemik COVID-19 yang melanda dunia.
Majlis sambutan itu turut dihadiri sekumpulan penuntut bukan Islam Malaysia termasuk yang sedang melanjutkan pengajian di Oxford, kira-kira dua jam perjalanan dari London.
Antara mereka ialah Isabel Lee dan Ethan Saw, kedua-duanya berusia 19 tahun yang belajar dalam bidang falsafah, politik dan ekonomi di University of Oxford serta Samantha Lee, 21, penuntut bidang pergigian di Barts and The London School of Medicine and Dentistry.
-- BERNAMA
#United Kingdom #rakyat Malaysia #Hari Raya Aidilfitri #ismail sabri yaakob
;