Rakyat Malaysia di Rusia diminta daftar segera dengan kedutaan - Saifuddin
Harits Asyraf Hasnan
April 26, 2022 22:05 MYT
April 26, 2022 22:05 MYT
PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang berada di Rusia dan belum berdaftar dengan kedutaan diminta untuk melakukannya dengan segera.
Gesaan itu dibuat Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di negara itu terjaga.
"Kalau kita kira jumlah sekarang ini, terdapat 779 pelajar dan 37 ekspatriat yang mendaftar dengan kedutaan di Moscow.
"Bagaimanapun, kita tahu, ada lagi jumlah pelajar dan ekspatriat yang belum mendaftar.
"Seruan pertama saya kepada semua rakyat Malaysia untuk mendaftar dengan segera.
"Pihak Perwakilan Malaysia (Malawakil) akan kemas kini keadaan yang berlaku dari segi keselamatan dan pelbagai perkara lain demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.
Beliau sebelum itu mengadakan perbincangan bersama lebih 270 rakyat Malaysia yang menetap di Rusia.
Sesi tersebut turut disertai Perwakilan Malaysia yang bertanggungjawab terhadap pelajar di Rusia, termasuk Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Bala Chandran Tharman dan ibu bapa kepada pelajar.
Mengulas lanjut berkenaan situasi rakyat Malaysia di sana, Saifuddin berkata antara isu yang mendepani mereka ketika ini adalah berkaitan urusan mengeluarkan wang.
"Daripada beberapa jumlah bank yang berada di Rusia, ada beberapa buah bank sahaja yang belum terkena sekatan dan dapat membantu dari segi urusan pindahan wang elektronik (EFT).
"Namun demikian, kebanyakan rakyat kita ketika ini banyak menggunakan Union Pay untuk membuat transaksi," katanya.
Beliau berkata, Wisma Putra mengambil maklum beberapa cadangan dalam memudah cara rakyat Malaysia mengeluarkan wang di negara itu.
Cadangan itu katanya akan dibawa untuk perbincangan lanjut bersama pihak Bank Negara Malaysia (BNM).