Rakyat Malaysia di Jordan jadi duta produk PMKS negara - Ewon
Bernama
April 28, 2024 21:00 MYT
April 28, 2024 21:00 MYT
JORDAN: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyarankan rakyat Malaysia yang menetap di Jordan supaya memainkan peranan sebagai "duta" untuk mempromosikan produk perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi negara.
Beliau berkata kementeriannya menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sedia membantu rakyat Malaysia di Jordan yang berminat menceburi bidang keusahawanan terutamanya menerusi platform koperasi.
"Saya berharap agar diaspora dan para pelajar Malaysia menjadi duta kepada perkhidmatan, produk dan jenama syarikat-syarikat PMKS, koperasi dan francais negara Malaysia di tempat kerja atau kampus pengajian masing-masing.
"Pemasaran produk-produk Malaysia ke pasaran antarabangsa sudah tentunya memerlukan sokongan duta-duta seperti ini," katanya ketika berucap pada majlis sesi ramah mesra antara delegasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan diaspora Malaysia di Jordan pada Sabtu.
Hadir sama ialah Duta Besar Malaysia ke Jordan Mohamad Nasir Abdul Rahman, Pengerusi SKM Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal; Ketua Pegawai Eksekutif SKM Rusli Jaafar; Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Datuk Abdullah Jusoh.
Sementara itu, Ewon berkata penyertaan dalam kalangan profesional, belia dan penjawat awam dalam gerakan koperasi amat penting memandangkan golongan ini berupaya bertindak sebagai penyumbang idea bagi memastikan gerakan koperasi berkembang dinamik dan kekal relevan dengan perkembangan sosioekonomi negara.
"Saya percaya dengan pengalaman warga Malaysia di Jordan termasuk para pelajar yang hidup dan bekerja dalam persekitaran antarabangsa yang pelbagai dapat mengukuhkan lagi personaliti dan memupuk kemahiran menangani cabaran-cabaran serta mampu mewujudkan rangkaian global berpengaruh," katanya.
Ewon berkata, PMKS berjaya menyumbang RM580.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan nilai eskport 10.5 peratus atau RM144.5 bilion dan 48.2 peratus atau 7.59 juta orang dalam sektor guna tenaga pada tahun 2022.
"Pada tahun lalu, bilangan koperasi juga terus melonjak kepada 15,809 buah dengan jumlah keanggotaan 7.2 juta orang, modal syer RM17.45 bilion, penjanaan aset RM165.89 bilion dan nilai perolehan sebanyak RM64.56 bilion.
"Bagi sektor francais, ia mempunyai lebih 1,000 jenama yang telah didaftarkan," katanya.
-- BERNAMA