Rakyat Malaysia di Jepun dinasihatkan jauhi kawasan pantai

Bernama
Ogos 9, 2024 02:15 MYT
Salah sebuah rumah yang musnah di bandar Osaki, dalam wilayah Kagoshima, barat daya Jepun, susulan gempa bumi yang melanda kawasan itu, 8 Ogos 2024. REUTERS
PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas akibat gempa bumi yang melanda Wilayah Miyazaki di Pulau Kyushu, Jepun dinasihatkan untuk menjauhi kawasan pantai, sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa serta arahan pihak berkuasa tempatan.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan pada Jumaat mengesahkan bahawa setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkesan oleh gempa bumi berukuran 7.1 pada skala Richter pada Khamis.
Gempa bumi itu turut mencetuskan amaran tsunami.
"Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo sedang memantau rapi perkembangan susulan kejadian gempa bumi itu.
"Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut," menurut kenyataan itu.
Walaupun tiada kematian dilaporkan, pihak berkuasa masih membuat penilaian kemungkinan berlakunya kecederaan dan kerosakan serius.
Kementerian turut menggesa rakyat Malaysia terutamanya di kawasan terjejas untuk mendaftar keberadaan mereka di https://ekonsular.kln.gov.my.
Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo yang beralamat di: 20-16, Nanpeidai-cho Shibuya-ku 150-0036 Tokyo, atau melalui panggilan telefon di: +81-3-3476-3840 atau +81-80-4322-3366 (kecemasan) atau e-mel: mwtokyo@kln.gov.my dan consular.tyo@kln.gov.my.
-- BERNAMA
#gempa bumi #Jepun #rakyat Malaysia #Kementerian Luar