Rakyat Malaysia di Indonesia dinasihat jauhi tempat tumpuan awam - Duta

Bernama
Mei 25, 2017 13:26 MYT
ZAHRAIN: Kita juga telah minta kerjasama polis Indonesia dalam memastikan tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa, dan setakat ini tiada apa-apa laporan rakyat kita menjadi mangsa. -Gambar fail
Rakyat Malaysia yang berada di Indonesia diingatkan supaya berjaga-jaga dan menjauhi tempat tumpuan awam atau dikawal pasukan keselamatan, susulan insiden letupan bom di sebuah terminal bas di Kampung Melayu, Jakarta Timur pada Rabu malam.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim ketika dihubungi Bernama berkata peringatan itu ditujukan kepada rakyat Malaysia yang bukan hanya berada di sekitar Jakarta malah di lokasi lain di negara berkenaan.
"Kita juga telah minta kerjasama polis Indonesia dalam memastikan tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa, dan setakat ini tiada apa-apa laporan rakyat kita menjadi mangsa," katanya merujuk kepada insiden yang dilapor mengorbankan lima nyawa termasuk tiga anggota polis.
Turut terbunuh dalam kejadian pukul 9 malam itu ialah dua pengebom bunuh diri.
Semua konsulat Malaysia di negara jiran itu diberitahu supaya menasihati rakyat Malaysia agar menjauhi tempat tumpuan awam atau yang dikawal polis, kata duta yang berpangkalan di Jakarta itu.
Menurutnya, keadaan setakat ini terkawal dengan anggota keselamatan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
-- BERNAMA
#bom #bunuh diri #Duta Besar Malaysia #konsulat Malaysia #pengebom bunuh diri #Zahrain Mohamed Hashim
;