Rakyat Malaysia bimbang isu rasuah politik, kewangan - Ipsos
Astro Awani
November 22, 2021 00:05 MYT
November 22, 2021 00:05 MYT
KUALA LUMPUR: Sejak permulaan pandemik, COVID-19 menjadi kebimbangan bagi seluruh rakyat Malaysia.
Dengan tahun 2021 semakin hampir ke penghujung, kebimbangan mengenai wabak itu telah berkurangan dengan ketara, dan kini berada pada tahap terendah sejak wabak itu bermula.
Itu yang dibuktikan firma penyelidikan pasaran dan perundingan, Ipsos, menerusi satu kaji selidik.
Hanya 51 peratus rakyat Malaysia bimbang dengan situasi COVID-19 pada November 2021 manakala isu rasuah politik dan kewangan semakin menjadi kebimbangan dengan 54 peratus.
Turut menjadi kebimbangan ialah isu pengangguran (33 peratus), kemiskinan dan ketaksamaan sosial (33 peratus) dan jenayah (17 peratus).
Ketika pilihan raya negeri yang menjadi tajuk utama di seluruh negara, tumpuan beralih kepada kebimbangan yang tidak berkaitan dengan COVID-19.
Kebimbangan tentang COVID-19 mencapai tahap tertinggi pada bulan Ogos, tetapi selepas proses vaksinasi yang lancar, kebimbangan mengenai wabak itu berada pada tahap terendah sejak April 2020.