Rakyat Malaysia berpendapat minyak sawit lebih sihat daripada minyak soya - Kajian UCSI

Bernama
Jun 24, 2019 20:00 MYT
Responden bersikap emosional dengan langkah Kesatuan Eropah yang tidak lagi menimbangkan bahan api daripada minyak sawit sebagai antara sasaran tenaga kuasa. - Gambar hiasan
Hampir 80 peratus penduduk di Malaysia bersetuju minyak sawit merupakan pilihan lebih sihat berbanding minyak soya, menurut hasil tinjauan Pusat Penyelidikan Kaji Selidik UCSI.
Ketua Pegawai Eksekutif pusat penyelidikan itu, Profesor Madya Dr Noppadon Kannika, berkata 20.8 peratus daripada 667 responden tidak bersetuju dengan kenyataan itu.
"Lebih 70 peratus responden daripada setiap kumpulan umur, iaitu generasi Z, generasi Y, generasi X, baby boomers dan lain-lain, 'bersetuju' dan 'amat bersetuju' dengan kenyataan ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Apa yang mengejutkan, beliau berkata, 54.6 peratus daripada responden bersikap emosional dengan langkah Suruhanjaya Eropah yang mengklasifikasikan bahan api daripada minyak sawit sebagai tidak mampan dan Kesatuan Eropah (EU) tidak lagi menimbangkan bahan api seumpama itu sebagai antara sasaran tenaga kuasa.
Majoritinya -- 84.3 peratus -- bersetuju untuk Malaysia terus mengeluarkan minyak sawit di bawah strategi yang disemak semula, katanya.
"Kaji selidik itu menunjukkan kebanyakan 'orang yang dikaji selidik' mahu negara terus mengeluarkan minyak sawit di bawah strategi baharu yang akan memanfaatkan rakyat Malaysia," katanya dan menurutnya 57.2 peratus daripada semua responden merupakan lulusan peringkat ijazah dan ke atas.
Noppadon berkata strategi minyak sawit yang disemak semula perlu dipertimbangkan dengan menjalin kerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa untuk meningkatkan kefahaman mengenai proses dan produk minyak sawit yang mampu menyelamatkan kepelbagaian biologi sumber asli negara.
"Lagipun, orang ramai patut diberitahu mengenai Minyak Sawit Sifar Suruhanjaya Eropah, untuk menggerakkan rakyat agar bersama-sama pemimpin negara dalam melindungi kepentingan negara," katanya.
Kaji selidik itu diadakan dari 1 Jun hingga 23 Jun dengan menggunakan pendekatan kualitatif dan kuantitatif.
Tinjauan itu untuk menentukan persepsi rakyat terhadap langkah larangan penggunaan minyak sawit oleh Suruhanjaya Eropah dan pendapat mereka berhubung perbandingan antara minyak sawit dan minyak soya, dan untuk mengklasifikasikan persepsi mereka berdasar jantina, umur generasi, pekerjaan, pendidikan dan tahap pendapatan.
Dalam kaji selidik itu, 51.4 peratus daripada jumlah responden adalah wanita, dan 48.6 peratus lelaki.
Daripada jumlah responden, pusat penyelidikan itu berkata sebanyak 38.2 peratus ialah pekerja swasta-syarikat, 23.8 peratus (pelajar), 12.7 peratus (pemilik perniagaan), 10.5 peratus (pegawai kerajaan), 5.4 peratus (pekerja sambilan), dan 9.4 peratus lain-lain seperti petani, pesara dan penganggur.
Dari segi pendapatan bulan responden, katanya 34.3 peratus berpendapatan di bawah RM2,000, 33.1 peratus berpendapatan sekitar RM2,000 dan RM4,999, 25.9 peratus berpendapatan antara RM5,000 dan RM7,999, manakala 6.7 peratus berpendapatan RM8,000 dan ke atas.
Kaji selidik itu mencatatkan margin kesalahan sampel kira-kira 3.5 peratus, katanya.
-- BERNAMA
#kaji selidik #Kesatuan Eropah #minyak sawit #Minyak Sawit Sifar #minyak soya #rakyat Malaysia #sumber asli #Suruhanjaya Eropah #tidak mampan #UCSI