Rakyat Malaysia bermalam di Lapangan Terbang Changi selama 18 hari

Astro Awani
September 17, 2016 13:19 MYT
Lelaki itu bertindak memalsukan 31 tiket pesawat elektronik untuk memasuki beberapa ruangan menunggu di tiga terminal. - Gambar hiasan / BERNAMA
Apakah yang akan anda lakukan sekiranya terlepas penerbangan?
Bagi seorang lelaki warga Malaysia, dia terus bermalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.
Namun bukan untuk sehari, tetapi untuk tempoh hampir tiga minggu!
Menurut laporan The Straits Times, Raejali Buntut, 33, bermalam di tempat menunggu lapangan terbang berkenaan selama 18 hari bermula 21 Ogos hingga Rabu lepas.
Raejali yang merupakan seorang penganggur bertindak memalsukan 31 tiket pesawat elektronik untuk memasuki beberapa ruangan menunggu di tiga terminal.
Namun seorang pekerja lapangan terbang mula sedar tindak-tanduknya itu dan melaporkan kepada polis.
Berikutan itu, Raejali, semalam dijatuhkan hukuman penjara dua minggu selepas mengaku bersalah atas 31 tuduhan pemalsuan tersebut.
Pasa asalnya, bekas pengurus pembangunan perniagaan di Royale Consultant Management Singapura itu mempunyai tiket penerbangan Air Asia yang dijadual berlepas ke Kuala Lumpur pada Ogos 21 pukul 7.05 pagi.
Malam sebelumnya, Raejali mendaftar masuk kira-kira tengah malam dan berehat di Plaza Premium Lounge, Terminal 1 menggunakan tiket masuk Priority Pass oleh Citibank.
Akibat lewat terjaga, dia kemudian terlepas penerbangannya, namun Raejali terus tinggal di lapangan terbang berkenaan sambil menggunakan kemudahan di tempat-tempat menunggu di tiga buah terminal.
Memandangkan tiket masuk asalnya tidak lagi sah, Raejali memuat turun gambar tiket masuk dari penerbangan Cathay Pacific dan Singapore Airlines dari internet sebelum menggubah imej menggunakan perisian komputer riba.
Dia menukar nama, nombor pesawat, destinasi atas tiket pesawat sebelum mengirimkan kepada telefon bimbitnya.
Bagaimanapun, tidak diketahui apa yang mendorong dia berbuat sedemikian.
#Chani #lapangan terbang #Raejali Buntut #Singapura #terlepas penerbangan
;