Rakyat Malaysia berkahwin di selatan Thailand dinasihat tidak lengahkan pendaftaran perkahwinan
Bernama
Ogos 7, 2022 19:08 MYT
Ogos 7, 2022 19:08 MYT
PHUKET: Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Muhammad Ridzuan Abu Yazid menasihati rakyat Malaysia yang berkahwin di Selatan Thailand supaya tidak melengahkan pendaftaran perkahwinan mereka apabila kembali ke tanah air.
Beliau berkata pendaftaran perlu dilakukan bagi mengelak berlaku masalah pada masa akan datang.
"Mereka yang ingin melangsungkan perkahwinan di Thailand perlu membuat perancangan supaya perkahwinan itu sah dari segi undang-undang," katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Mahabbah 2022 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini hari ini.
Turut berkenan berangkat ke program itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs dan anakanda baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra.
Muhammad Ridzuan turut menasihati orang ramai berwaspada dengan tawaran oleh sindiket pernikahan supaya tidak tertipu dan menyebabkan perkahwinan mereka tidak sah.
"Pasangan yang ingin berkahwin di sini perlulah mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam negeri masing-masing," katanya.
-- BERNAMA