Rakyat Malaysia belum sedia untuk hudud, kata kajian Merdeka Center

Astro Awani
Julai 16, 2014 16:00 MYT
MERDEKA CENTRE: Rakyat Malaysia belum sedia untuk hudud
Majoriti rakyat negara ini masih belum bersedia untuk pelaksanaan undang-undang jenayah Islam atau hudud dan qisas, kata satu kajian yang dijalankan oleh firma tinjauan pendapat, Merdeka Center.
Kajian yang dijalankan di kalangan pengundi di Semenanjung Malaysia itu mendapati 58% responden Melayu, 59% Cina dan 61% India sama-sama bersependapat negara ini belum bersedia untuk melaksanakan undang-undang Islam.
"Kajian mendapati hanya 25% daripada keseluruhan responden dan 30% daripada responden Melayu percaya bahawa negara ini sudah bersedia untuk pelaksanaan hukum hudud pada masa ini," kata Merdeka Center for Opinion Research dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Kajian tersebut dijalankan antara 12 hingga 21 April lalu. Ia melibatkan 1,009 orang pengundi berdaftar yang terdiri daripad 60% responden Melayu, 31% Cina dan 9% India. Mereka yang dipilih secara rambang mengikut pecahan etnik, jantina dan negeri ditemubual melalui telefon.
Biarpun berpendapat negara ini belum bersedia untuk hudud, 53% responden mengatakan mereka menyokong undang-undang jenayah Islam itu manakala 56% menyatakan mereka memahaminya.
Peratusan yang menyokong hudud itu terdiri daripada 71% responden Melayu manakala majoriti yang tidak menyokong ialah responden kaum Cina iaitu 65% dan India 69%.
Kajian Merdeka Center itu juga mendapati 83% daripada responden Melayu yang berumur di bawah 30 tahun menyokong pelaksanaan undang-undang jenayah syariah dan dapatan ini selari dengan kajian sentimen golongan muda Melayu terhadap hudud yang pernah dijalankan oleh firma yang sama pada 2011.
Sementara itu, kajian tersebut juga menunjukkan hanya 32% responden percaya bahawa hukum hudud boleh dilaksanakan secara adil. Mereka ditanya persepsi tentang "keupayaan institusi kehakiman dan penguatkuasaan pada masa sekarang, sejauh manakah anda merasakan hukum hudud dapat dilaksanakan dengan adil dan saksama".
#hudud #merdeka centre #undang-undang Islam
;