Rakyat Malaysia akan kembali yakin untuk terbang semula - AirAsia
Saraya Mia
Mei 19, 2020 17:41 MYT
Mei 19, 2020 17:41 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad (AirAsia), Riad Asmat yakin rakyat Malaysia sudah bersedia untuk melakukan penerbangan semula.
Menurutnya, tahap kepatuhan rakyat Malaysia terhadap prosedur operasi standard (SOP) di lapangan terbang dan dalam pesawat adalah tinggi.
“Berdasarkan pengalaman, saya perasan rakyat Malaysia memang teratur dan patuh. Mereka sedar akan langkah-langkah bagi memastikan keselamatan diri masing-masing.
“Saya yakin Malaysia berada di tahap yang sangat bersedia dan apabila tiba masanya, tiada masalah bagi rakyat kita kembali terbang," kata Riad kepada hos Rancak TV, Saraya Mia dalam temu bual eksklusif, pada Isnin.
Dalam pada itu, katanya syarikat penerbangan tambang rendah itu sedang berusaha untuk menambah baik perkhidmatan dan teknologi di lapangan terbang bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 sewaktu perjalanan.
“Kalau boleh, kita tak mahu sesorang itu pegang apa-apa, jadi kaedah-kaedah serta kemudahan sedia ada sedang dipertingkatkan atau diperbaharui bagi mengelak berlakunya sentuhan (yang boleh dielakkan),” tambahnya.
Katanya, antara kemudahan teknologi sedia ada yang akan dipertingkatkan adalah kemudahan E-boarding, teknologi imbas pasport serta imbas kod bar di kios yang disediakan.
Tambah beliau lagi, SOP yang ditetapkan kerajaan turut dilaksanakan seperti menyediakan papan tanda atau poster meminta semua penumpang dan kakitangan mengamalkan penjarakan sosial.
Selain itu, katanya ahli keluarga juga tidak dibenarkan masuk ke dalam terminal untuk menghantar penumpang bagi mengelakkan kesesakan.
Riad telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia pada 10 Januari 2018 dan bertanggungjawab terhadap pengurusan operasi Malaysia.