Rakyat main peranan penting dalam penggubalan dasar negara - TPM

Isabelle Leong
Disember 5, 2019 19:40 MYT
Dr WAN AZIZAH (tengah): Rakyat memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan negara dan ahli politik perlu bertanggungjawab dalam merealisasikan aspirasi rakyat. - BERNAMA
Rakyat memainkan peranan penting dalam perbualan penggubalan dasar negara masa depan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dr Wan Azizah berkata rakyat dan kerajaan perlu jujur dan mempunyai perbualan yang terbuka dalam membentuk masa depan Malaysia.
"Jangan biarkan ahli politik melakukannya dengan sendiri. Perbualan antara rakyat perlu berkesinambungan dan sepatutnya membentuk masa depan masyarakat Malaysia.
"Masa depan itu milik rakyat dan ahli-ahli politik perlu bertanggungjawab terhadap aspirasi rakyat," katanya dalam ucapan pada Bengkel Komunikasi Dunia 2019 (WowComm) di Putrajaya pada Khamis.
Turut hadir ialah Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomik (IDEAS), Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz, Ketua Pengarang Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron dan Ketua Pengarang Malay Mail, Datuk Wong Sai Wan.
Dalam perkembangan yang sama, Datuk Wong Sai Wan bersetuju dengan pandangan Dr Wan Azizah tetapi beliau berharap agar kerajaan akan memberi respons dalam perbualan antara kerajaan dan rakyat.
“Komunikasi bermaksud terdapat maklumat yang keluar dan ada yang membalas.
“Jika hanya rakyat yang bercakap dan kerajaan kekal senyap, ia bukan komunikasi. Itu namanya protes.
“Saya berharap kerjaaan membalas komunikasi antara rakyat dan kerajaan supaya wujud dua hala dan bukannya sehala sahaja,” kata Wong apabila ditemui Astro AWANI selepas sesi perbincangan panelnya.
Sementara itu, Dr Wan Azizah turut menggesa rakyat supaya tidak terperangkap dalam polimik politik dan amalan benci-membenci.
Sebaliknya, rakyat Malaysia perlu berani menyuarakan pandangan dan menggunakan komunikasi untuk mengukuhkan demokrasi negara serta tidak membenarkan ia dirampas golongan pembenci.
#Astro Awani #Bengkel Komunikasi Dunia 2019 #demokrasi #Dr Wan Azizah Wan Ismail #Kamarul Bahrin Haron #komunikasi #Malay Mail #rakyat #Wong Sai Wan #WowComm
;