'Rakyat mahu tahu kenapa ada usaha lengahkan kes Zahid' - Armada Bersatu

Astro Awani
April 14, 2023 18:30 MYT
Wan Ahmad Fayhsal menjelaskan pihaknya berpendapat terdapat konspirasi politik melibatkan pemimpin negara dalam usaha melengahkan kes yang mempunyai prima facie. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Satu laporan polis mengenai apa yang didakwa sebagai konspirasi melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pendakwa Raya bagi melepaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada dakwaan di mahkamah, telah dibuat.
Laporan tersebut dibuat oleh pemimpin sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Armada Bersatu dengan hasrat memastikan sistem perundangan di negara ini kekal menyakinkan dan tidak ada campur tangan mana-mana pihak.
Menurut Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal perkara ini amat penting untuk ditangani dengan serius untuk memastikan keadilan tidak disongsang sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak.
Wan Ahmad Fayhsal menjelaskan pihaknya berpendapat terdapat konspirasi politik melibatkan pemimpin negara dalam usaha melengahkan kes yang mempunyai prima facie.
Ahli Parlimen Machang itu juga mendakwa pihak Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut terlibat dalam apa yang disifatkan sebagai kepincangan sistem perundangan negara.
"Kita nak tahu kenapa SPRM, nak buat semakan semula, membantu melengahkan kes ini walaupun dah ada prima facie.
"Sedangkan kes boleh berjalan untuk pihak tertuduh iaitu Timbalan Perdana Menteri mempertahankan atau membela diri dengan adil menggunakan saluran yang ada.
"Kenapa perlu ada semakan semula? Nak tangguh lagi? Ini perkara yang dibangkitkan oleh orang awam. apa jadi kepada sistem kehakiman kita," katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis tersebut.
Beliau juga mengajak pimpinan Pakatan Harapan untuk bersama menyatakan bantahan terhadap apa yang berlaku ketika ini.
"Saya nak tanya rakan-rakan saya dalam Pakatan Harapan, where are you in this matter? Kenapa kamu berdiam diri untuk bersuara berkenaan dengan perkara ini?
"Ini satu perkara yang amat membimbangkan kerana prinsip perjuangan Pakatan Harapan juga sama dengan kami mendaulatkan undang-undang negara, mempertahankan negara daripada dizalimi oleh kleptokrasi," katanya lagi.
Wan Ahmad Fahysal berharap pihak Peguam Negara dan SPRM segera memperbetulkan perkara ini agar tidak terpalit dengan usaha yang dianggap tidak bermoral itu.
#SPRM #Armada Bersatu #Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal #Ahmad Zahid Hamidi
;