Rakyat mahu ahli politik reda ketegangan menjelang Belanjawan 2021
Astro Awani
Oktober 28, 2020 15:00 MYT
Oktober 28, 2020 15:00 MYT
KUALA LUMPUR: Selain mengharapkan keselamatan dan kesihatan semua pihak terjamin, rakyat mahukan ahli politik berhenti bertelagah menjelang pembentangan Belanjawan 2021.
Perkara itu amat penting lebih-lebih lagi pada saat jangkitan pandemik COVID-19 kini menunjukkan angka yang membimbangkan, kata Pengasas Bersama Undi18, Qyira Yusri.
Ia termasuk melibatkan isu gencatan politik, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini dan persidangan Parlimen yang akan berlangsung pada awal November depan.
Kata Qyira, UMNO, PKR, GPS sudah membayangkan hendak melakukan gencatan politik, namun rakyat tidak tahu janji mereka dibuat atau sebaliknya sehingga belanjawan dibentangkan.
"Ia satu ujian mudah hendak menentukan parti politik ini membuat gencatan atau tidak.
"Secara peribadi, semua patut bertahan selagi negara stabil, sehingga Malaysia ada vaksin. Kita kena ingat, peningkatan kes penularan COVID-19 di Malaysia akhir-akhir ini. Pulangkan kuasa kepada rakyat yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan sejak pandemik ini.
"Bagi saya, mereka perlu sedar situasi ini, bukan siapa berkuasa sebab ramai orang yang kehilangan nyawa, pekerjaan dan kehilangan nyawa sebab pekerjaan," katanya semasa sidang Google Meet di sini, pada Rabu.
Katanya, sesi Parlimen akan datang akan menjadi ujian bukan sahaja untuk menunjukkan tanggungjawab dalam isu pandemik, tetapi paling penting kerjasama ahli politik.
"Tidak boleh terima begitu sahaja, semua ahli politik kerajaan atau pembangkang kena ambil imput semua secara menyeluruh. Belanjawan ini holistik dan perlu mengambil kira pandangan semua pemegang taruh.
"Saya rasa semua presiden parti perlu datang ke meja dengan mind set mereka ingin pentingkan rakyat," ujarnya.
#UMNO
#PKR
#Google
#Parlimen
#COVID-19
#Undi 18
#GPS
#Al-Sultan Abdullah
#Qyira Yusri
#parti politik