Rakyat lega harga ayam tidak naik selepas subsidi ditamatkan - Ahmad Maslan
Astro Awani
November 3, 2023 12:35 MYT
November 3, 2023 12:35 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa pasar raya menurunkan harga jualan ayam lebih rendah berbanding sebelumnya membuatkan rakyat menarik nafas lega.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, rakyat sebelum ini gusar harga runcit ayam akan melonjak apabila subsidinya ditamatkan.
Ahmad berkata ia merupakan satu perkara positif yang perlu diteruskan selepas tiada lagi subsidi harga runcit ayam bermula 1 November lalu.
"Contohnya pasar raya Mydin, bila kita lihat Datuk Ameer Mydin live di Tik Tok tunjuk harga ayam RM7.99 sekilogram.
"Kemudian Lotus maklumkan harga ayam di pasar raya mereka dijual pada RM7.49 sekilogram, ini satu perkara yang baik.
"Saya harap perkara ini akan berlaku berterusan sebagaimana kita melaksanakan GST pada 1 April 2015 bukan menaikkan harga barang pada permulaannya tetapi menurunkan harga barang sesuai dengan teori saya," katanya.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian ketika ditemubual di program Niaga AWANI pada Jumaat.
Selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa, kerajaan bersetuju agar subsidi dan kawalan harga bagi ayam sahaja yang akan ditamatkan sepenuhnya bermula 1 November lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bagaimanapun subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A,B dan C akan diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.
Menurutnya, sejak Februari 2022, kerajaan menanggung RM3.8 bilion subsidi telur dan ayam dengan RM100 juta adalah dikhaskan untuk ayam.
#Ahmad Maslan
#Timbalan Menteri Kewangan I
#Kementerian Kewangan
#Ayam
#subsidi
#harga
#subsidi bersasar