Rakyat kurang yakin terhadap ekonomi Malaysia sebelum PKP lagi - EMIR Research
Firdaus Azil
Jun 13, 2020 12:45 MYT
Jun 13, 2020 12:45 MYT
Majoriti rakyat di negara ini dilihat tidak begitu yakin terhadap keadaan ekonomi Malaysia sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan lagi.
Menurut kaji selidik suku tahun pertama 2020 oleh EMIR Research, hanya 19 peratus responden merasakan ekonomi negara berada pada tahap kukuh, berbanding 36 peratus yang merasakan sebaliknya, manakala 45 peratus lagi tidak pasti.
“Angka ini diburukkan lagi dengan pelaksanaan PKP, dan sama ada kita dapat melihat keyakinan rakyat terhadap ekonomi meningkat, adalah bergantung kepada kejayaan kerajaan dalam mengawal pandemik COVID-19, serta keberkesanan strategi keluar untuk memulakan semula ekonomi negara,” menurut kajian itu lagi.
i.
EMIR Research berkata, sebanyak 2,002 responden menyertai kaji selidik itu bermula antara 15 Januari hingga 24 Februari, dan mereka terdiri daripada rakyat Malaysia di kesemua 14 negeri dan wilayah.
Firma itu menyebut, analisa kaji selidik itu adalah relevan sewaktu Pakatan Harapan masih memerintah dalam tempoh yang dinyatakan.
Dalam pada itu, EMIR Research berkata, sebelum COVID-19 melanda negara, 84 peratus kaum Melayu dan Bumiputera sudah merasakan negara tidak berada pada landasan yang betul, atau tidak pasti mengenainya.
Angka juga menunjukkan sentimen yang sama dirasakan oleh kaum Cina (68 peratus) dan kaum India (72%).
“Ketidakpuashatian dalam kalangan Melayu dan kaum Bumiputera lain, telah menyediakan peluang kepada parti politik Melayu yang merasakan ia merupakan masa yang tepat untuk merancang plot bagi kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan.
“Dan akhirnya ia menjadi kenyataan apabila timbul krisis politik susulan perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Tanda-tanda itu sudah kelihatan,” kata firma itu lagi.
Selain itu, EMIR Research berkata, Indeks Kepuashatian Kerajaan (GSI), menunjukkan kejatuhan kepada 0.43 mata untuk suku tahun pertama tahun ini, berbanding 0.53 pada suku tahun sebelumnya.
#Bumiputera
#Cina
#Dr Rais Husin
#ekonomi
#EMIR Research
#India
#Mahathir Mohamad
#Melayu
#Muhyiddin Yassin
#Pakatan Harapan
#Pelaksanaan PKP
#Perikatan Nasional
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#politik