Rakyat Kelantan perlu jaga SOP, walaupun diberi kelonggaran aktiviti sosial

Bernama
Ogos 9, 2021 04:20 MYT
Mohd Amar berkata kerajaan negeri bimbang akan berlaku peningkatan COVID-19 di negeri itu sekiranya ramai yang leka dan tidak menjaga SOP. - fotoBERNAMA
KOTA BHARU: Rakyat Kelantan diingatkan agar terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung penularan COVID-19 meskipun kerajaan Persekutuan memberi beberapa kelonggaran aktiviti sosial kepada mereka yang telah menerima vaksin lengkap.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerajaan negeri bimbang akan berlaku peningkatan COVID-19 di negeri itu yang sedang melaksanakan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), sekiranya ramai yang leka dan tidak menjaga SOP.
"Saya mahu kita (rakyat Kelantan) semua tekankan untuk menjaga SOP kerana kita tidak mahu tanpa mengikutinya dan dengan adanya kelonggaran ini, semakin banyak pula kes jangkitan (COVID-19).
"Oleh itu, kerajaan negeri berharap semua pihak dan rakyat menghargai kelonggaran yang diumumkan semalam dengan menjaga SOP," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Tablet kepada Anak-anak Pelanggan Ar-Rahn di Ibu Pejabat Permodalan Kelantan Berhad (PKB), di sini, pada Isnin.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad berkata kerajaan bersetuju memberikan kelonggaran bagi sektor sosial kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri yang berada dalam Fasa Dua PPN dan seterusnya, berkuat kuasa Selasa.
Antara kemudahan dibenarkan adalah rentas daerah, aktiviti dine-in atau makan di premis, aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan inap desa dan hotel.
Mohd Amar berkata mengenai kebenaran solat jemaah di surau dan masjid, perkara itu akan ditetapkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) selepas mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
-- BERNAMA
#kelonggaran aktiviti sosial #rakyat kelantan #Mohd Amar Nik Abdullah #Fasa dua #Pelan Pemulihan Negara #PPN #COVID-19 #SOP #vaksin
;