Rakyat Kelantan perlu bangkit buat perubahan - PM Anwar

Bernama
Julai 23, 2023 15:28 MYT
Anwar (tiga, kanan) menyempurnakan pelancaran Program Sentuhan Kasih Desa Kelantan di Dataran KESEDAR Paloh 2 hari ini. -Bernama
GUA MUSANG: Rakyat Kelantan perlu bangkit melakukan perubahan bagi membolehkan negeri itu terus membangun dan dimajukan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana kerajaan Kelantan ketika ini tidak mampu membangunkan negeri tanpa bantuan Kerajaan Persekutuan.
"Akhirnya rakyat yang menentukan. Rakyat kena sedar, bangkit dan tuntut perubahan ini.
"Kerajaan Kelantan tak mampu, kena ada dukungan daripada Kerajaan Persekutuan. Saya beritahu perkara benar bukan nak bercakap sombong.
"Begitu juga Perlis, jika kita tidak bantu beri peruntukan, nak bayar gaji pun tak mampu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih Desa, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Anwar berkata justeru, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat diperlukan bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat.
"Namun situasi yang berlaku adalah sebaliknya apabila kita di pihak kerajaan bagi projek, mereka kata kita tipu, kita bagi pandangan dan bercakap, mereka kata masuk neraka.
"Jadi saya mohon kawan-kawan termasuk ustaz-ustaz yang ada dalam Pas, tegurlah mereka. Jangan asyik nak hukum orang saja," katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak dalam usaha membangunkan negara, termasuk di Kelantan.
"Beberapa bulan ini, saya berunding dengan (bekas menteri kewangan) Tengku Razaleigh Hamzah untuk meminta berunding memulihkan ekonomi negara... beliau (Tengku Razaleigh) beri kerjasama baik. Ini kita manfaatkan," katanya.
Anwar juga sekali lagi menyangkal dakwaan kononnya pentadbiran Kerajaan Perpaduan mengikut telunjuk DAP.
"Selama ini projek untuk golongan usahawan, penduduk desa dan program berbilion ringgit untuk orang Melayu tidak pernah DAP menyanggah atau bantah.
"Yang kena marah adalah (wujudnya) orang yang sakau (duit). Itu kita kena lawan," katanya.
Selain Kelantan, lima lagi negeri yang turut mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) ialah Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di keenam-enam negeri itu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai hari pengundian manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #bangkit lakukan perubahan #rakyat kelantan #bantuan kerajaan persekutuan
;