'Rakyat Kelantan dapat manfaat besar'

Bernama
Februari 9, 2013 09:45 MYT
Rakyat Kelantan telah mendapat manfaat besar dengan siapnya dua jalan bertingkat di sini iaitu di Jambatan Sultan Yahya Petra dan Jalan Pasir Hor yang telah menyelesaikan masalah kesesakan teruk di jalan itu selama ini.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ia juga merupakan satu mercu tanda baharu kepada rakyat Kelantan yang sangat dahagakan pembangunan.
"Siapnya dua jalan bertingkat yang menelan belanja ratusan juta ini telah menyelesaikan masalah kesesakan teruk yang dialami pengguna sejak sekian lama.
"Ini mercu tanda baharu dan juga bukti janji kerajaan pusat tetap diutamakan untuk pembangunan Kelantan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perasmian simbolik jalan bertingkat di persimpangan lampu isyarat Jalan Pasir Hor.
Jalan bertingkat itu yang dibina dengan kos lebih RM33 juta sepanjang lebih 600 meter telah mula dibuka kepada pengguna lebih seminggu lalu.
Mula dibina pada Mei 2008, laluan itu telah menyelesaikan masalah kesesakan teruk bagi pengguna yang mahu ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Manakala jalan bertingkat di Jambatan Sultan Yahya Petra pula telah mula dibuka sebahagian laluannya baru-baru ini, yang menelan belanja kira-kira RM170 juta.
Laluan itu pula telah menyelesaikan masalah kesesakan teruk laluan antara Tumpat ke Kota Baharu yang terpaksa melalui jambatan lama sebelum ini.
"Lebih 5,000 kakitangan HUSM dan universiti itu menggunakan laluan ini dengan tidak termasuk lagi ribuan orang yang memerlukan rawatan di HUSM setiap hari," katanya yang mengulas mengenai pembukaan laluan di Jalan Pasir Hor itu.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata Kelantan sebenarnya tidak pernah dianaktirikan oleh kerajaan pusat dan dakwaan pembangkang mengenai perkara itu adalah bohong semata-mata.
#Datuk Seri Mustapa Mohamed #Jalan Pasir Hor #Yahya Petra
;