Rakyat Kelantan bahagia, pentadbiran negeri di landasan betul - Mohd Amar

Vivi Sumanti
Julai 23, 2022 05:00 MYT
MOHD AMAR: Secara umumnya, rakyat gembira tinggal di Kelantan. Itu yang penting. Dan kita berada pada landasan yang betul. Apa yang kita buat, program kita, boleh memenuhi kehendak rakyat. - Gambar fail
KOTA BHARU: Kelantan yang berada di tangga kelima sebagai negeri yang rakyatnya bahagia berdasarkan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021, membuktikan pentadbiran kerajaan negeri berada pada landasan yang betul.
Menurut Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, walaupun tidak dinafikan ada kelemahan dalam pentadbiran dan isu-isu tertentu, namun secara umumnya rakyat Kelantan merasa gembira tinggal di sini.
"Statistik itu bukan kita yang buat, ia dibuat Jabatan Perangkaan Malaysia, ada indikator dan rujukan yang ia guna.
"Dari kajian yang ia buat, kita termasuk salah satu negeri yang bahagia. Maknanya, dari segi kepuasan hati rakyat, walaupun ada isu, ada benda-benda tertentu, ada masalah, tapi secara umumnya, rakyat gembira tinggal di Kelantan.
"Itu yang penting. Dan kita berada pada landasan yang betul. Apa yang kita buat, program kita, boleh memenuhi kehendak rakyat," katanya.
Mohd Amar berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI selepas ceramah isu semasa di Parlimen Pengkalan Chepa yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary di sini malam tadi.
Indeks skor mencatatkan kebahagiaan di Labuan adalah yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain dengan skor 9.29.
Terdahulu, Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, MHI itu menunjukkan, selain Labuan, negeri lain yang mencatatkan skor pada tahap bahagia ialah Kuala Lumpur (7.77), Putrajaya (7.28), Terengganu (7.20), Kelantan (7.02), Perlis (6.96), Sarawak dan Johor (6.69), Negeri Sembilan (6.68), Pulau Pinang (6.65), Perak (6.35) dan Sabah (6.28).
Bagaimanapun, katanya, dua negeri mencatatkan skor sederhana bahagia iaitu Melaka dengan 5.85 dan Selangor pada kedudukan terakhir dengan 5.74.
Analisis menunjukkan Labuan mencatatkan purata skor melebihi 9 bagi kesemua 13 komponen termasuk penggunaan masa (9.93), keluarga (9.91), amalan kerohanian (9.83), keselamatan awam (9.74) dan kemudahan komunikasi (9.64).
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, walaupun Kelantan seringkali dikaitkan dengan pelbagai isu dan masalah seperti didakwa pelbagai pihak, statistik Jabatan Perangkaan itu membuktikan sebaliknya, rakyat di negeri serambi Mekah ini gembira.
"Ia banyak aspek penilaiannya, seperti kehidupan, suasana dan sebagainya. Sebab itu nombor satu Labuan, dan sebagainya, dan kita (Kelantan) selepas Terengganu" jelasnya lagi.
Untuk rekod, Pas mentadbir Kelantan selama lebih 30 tahun selepas memenangi pilihan raya umum pada 1990 sewaktu bersama gabungan Angkatan Perpaduan Ummah (Apu).
#rakyat kelantan #Mohd Amar Nik Abdullah #Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia #kerajaan negeri Kelantan
;