Rakyat Kedah terima air percuma
Salim Aziz
Februari 27, 2018 16:45 MYT
Februari 27, 2018 16:45 MYT
Kerajaan Kedah menawarkan pengecualian caj bekalan air kepada pengguna di negeri itu bagi penggunaan maksimum 20 meter padu sebulan.
Menteri besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, langkah itu diambil bagi mendidik sifat berjimat dan penggunaan air, di samping membantu rakyat untuk mengurangkan bebanan pembayaran terhadap keperluan asas.
"Kita mahu mengajar rakyat berjimat dalam menggunakan air selain membantu mereka mengurangkan beban pembayaran terhadap keperluan asas," katanya selepas merasmikan Insentif Penggunaan Air Percuma oleh Syarikat Air Darulaman (SADA) sempena Hari Air Percuma di sini, hari ini.
Katanya, insentif itu diluluskan dalam pembentangan bajet Negeri Kedah 2018, baru-baru ini.
Selain itu Ahmad Bashah berkata dengan insentif itu, kerajaan negeri akan menanggung kos sebanyak RM1.5 juta setiap bulan atau RM18 juta setahun.