Rakyat Johor sokong sekolah kerajaan aliran Inggeris dikembalikan

Astro Awani
November 20, 2017 17:04 MYT
Ia dibuktikan melalui satu tinjauan yang dibuat oleh sebuah institut kajian di Singapura.
Majoriti rakyat Johor bersetuju jika sekolah kerajaan aliran Inggeris dikembalikan, menurut satu tinjauan.
Tinjauan berkenaan dilakukan oleh ISEAS Yusof Ishak Institute, Singapura, dan keputusan diumumkan menerusi satu laporan bertajuk 'Johor Survey 2017: Views on Identity, Education and the Johor Royal Family'.
Dalam laporan itu, 82 peratus responden mahu aliran berkenaan dikembalikan di sekolah-sekolah kerajaan.
Tinjauan itu mendapati, keputusan positif itu adalah hasil daripada keberkesanan sistem pendidikan di Singapura, dalam melahirkan kepakaran yang bukan sahaja mahir dalam bidang yang dipilih tetapi mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
Turut menjadi topik tinjauan adalah konsep 'Satu Sekolah Untuk Semua', yang mana sokongan sangat baik direkodkan daripada responden berbangsa Melayu, Cina dan India.
Ia sekaligus menafikan tanggapan bahawa konsep sekolah sedemikian ditolak oleh kaum Cina dan India.
Sebanyak 87.1 peratus responden Melayu memberikan sokongan kepada konsep Satu Sekolah Untuk Semua. Manakala 74.4 peratus sokongan daripada kaum Cina dan 67.1 peratus sokongan mewakili kaum India.
#Cina #India #Johor #kerajaan #Melayu #pendidikan #sekolah
;