Rakyat Johor sambut baik hasrat kaji semula caj air mentah Singapura

Astro Awani
September 26, 2013 07:10 MYT
Hasrat kerajaan negeri Johor mengkaji semula kadar caj air mentah ke Singapura bagi menaikkan harga yang telah diguna pakai sejak tahun 1962 disambut baik oleh rakyat negeri itu.
Rata-rata mereka yang ditemui Asto AWANI berpendapat kadar caj 3 sen bagi seribu gelen air mentah yang dibekalkan kepada republik itu sejak 51 tahun lalu tidak lagi sesuai untuk digunakan.
Pemandu teksi, Hairul Ghani Masnon berkata dengan kemajuan dan perkembangan ekonomi yang dikecapi kedua-dua negara, langkah menaikkan kadar caj berkenan sepatutnya telah lama dibuat.
Malah kerajaan pusat sepatutnya perlu bertegas untuk memastikan langkah itu terlaksana.
“Saya warga Johor, sepatutnya harga yang lama 3 sen seribu gelen tidak sesuai jauh sekali, harga sekarang patut naik lebih kurang RM1.50 ke RM 2.00 baru setimpal .
“Dengan keadaan ekonomi dan kos-kos sekarang, bagi saya tidak patut harga terus kekal, sepatutnya diubah dengan harga yang setimpal. Perjanjian lama mesti diubah kalau tidak kerugian di pihak Malaysia. Minta kerajaan ambil tindakan selanjutnya," katanya.
Sementara itu, rakannya, Zarudin Kassim turut berkongsi pendapat yang sama, malah katanya harga mengikut Perjanjian Air 1962 itu terlalu murah dan merugikan.
“Pada saya sekarang punya harga memang terlampau murah tapi kalau dapat kita runding dan kerajaan Johor boleh dapatkan harga lebih tinggi, lebih baik.
“Saya harap kerajaan Singapura bertimbang rasa dengan kerajaan Johor sebab kita telah banyak berjasa kepada republik itu," katanya.
Menurut pemandu bas, Goh Kok Huat dengan kenaikan harga minyak, barangan dan keperluan lain, kadar caj air mentah katanya perlu dinaikkan.
Katanya secara logik, tidak ada barang atau perkhidmatan yang sama harganya dari dahulu sehingga kini.
“Semua barang sudah naik, minyak sudah naik, mana boleh bagi harga sama macam dulu. Matawang pun sudah lain sekarang, jadi kena naikkan harga air," katanya.
Mengikut rekod, setiap bulan Johor menerima bayaran RM 1.2 juta ringgit dari SAJ Holdings dan RM230,000 dari kerajaan Melaka manakala Public Utilities Board (PUB), Singapura hanya membayar RM200,000.
Berdasarkan Perjanjian Malaysia-Singapura pada 1961 dan 1962, PUB membeli air pada harga 3 sen bagi setiap seribu gelen air mentah dan menjual air terawat pada harga 50 sen setiap seribu gelen kepada Johor.
#air #caj #Johor #kerajaan #Singapura
;