Rakyat jimat RM1,200 setahun dengan pas tanpa had Prasarana - Tun Mahathir
Firdaus Azil
Disember 1, 2018 12:53 MYT
Disember 1, 2018 12:53 MYT
Penggunaan pas tanpa had My100 dan My50 Prasarana dijangka dapat beri penjimatan sehingga RM100 sebulan atau RM1,200 setahun, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketika berucap merasmikan pas itu di KL Sentral hari ini, beliau berkata, penggunaan pas itu dapat mengurangkan kos perjalanan ke tempat kerja atau ke sekolah, sekaligus membantu isi rumah mengurangkan kos sara hidup yang semakin meninggi.
“Ini adalah penjimatan yang tinggi. Saya yakin rakyat yang ada di Kuala Lumpur akan menjayakan cara ini.
"Kalau kita dapat lebih ramai ridership atas kemudahan perjalanan oleh Prasarana, saya yakin kita akan dapat membeli lebih banyak barang lain kerana tiap tahun kita akan selamatkan RM1,200 kalau kita menggunakan pas ini setiap bulan,” katanya lagi.
Dr Mahathir berkata, ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Pakatan Harapan untuk membantu rakyat mengurangkan tekanan, dan banyak lagi perkara lain sedang dikaji untuk tujuan yang sama.
Berucap lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan mengkaji untuk memperluaskan perkhidmatan pas itu ke bandar-bandar lain.
“Seperti Menteri Pengangkutan Anthony Loke kata tadi, kemudahan ini akan dibawa ke tempat lain di malaysia. Dan percubaan di Kuala Lumpur dahulu supaya kita dapat tahu apa kelemahan yang ada dan dapat diperbetulkan.
“Inilah selalunya menjadi pemikiran di antara kabinet-kabinet pakatan harapan ini ialah bagaimana memudahkan kehidupan rakyat dan mengurangkan perbelanjaan supaya hidup lebih sempurna,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat-syarikat penyedia khidmat pengangkutan swasta juga diseru untuk mengadakan inisiatif yang sama bagi membantu rakyat.
#kerajaan
#Kuala Lumpur
#Mahathir Mohamad
#menteri
#MY100
#My50
#Pakatan Harapan
#Pas Tanpa Had
#Perdana Menteri
#prasarana
#rakyat
#sekolah
#Twitter