Rakyat harus ambil iktibar konflik negara bergolak
Bernama
Disember 24, 2012 13:27 MYT
Disember 24, 2012 13:27 MYT
Rakyat perlu mengambil iktibar daripada kekacauan dan ketidakharmonian di kebanyakan negara lain yang bergolak akibat kewujudan ekstremisme serta fanatik agama, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.
Katanya perkara sedemikian tidak harus dibenar berlaku di negara ini yang rata-rata rakyat mengamalkan kesederhanaan sekalipun berbilang bangsa dan agama.
"Atas kejayaan kita mempromosikan kesederhanaan inilah maka masyarakat global menghormati peranan kita di arena antarabangsa dalam mempromosikan konsep ini.
"Negara kita mempromosikan konsep konflik resolusi dan memberi keutamaan kepada aspek perundingan bagi mengelak pergaduhan berasaskan agama dan etnik," katanya pada majlis sambutan Hari Krismas Masyarakat Cina Kristian di Dewan Pei Tsin Kudat, di sini hari ini.
Beliau berkata penerimaan dan kepercayaan kedua-dua pihak yang bertelagah di Filipina terhadap Malaysia untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik di selatan negara itu adalah pengiktirafan besar kepada negara.
"...dan rakyat Malaysia harus bangga dengan peranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mengharumkan nama negara di persada antarabangsa," katanya.
Abdul Rahim yang juga anggota Parlimen Kudat turut memuji masyarakat beragama Kristian di Sabah khususnya, kerana sentiasa membantu kerajaan mempromosikan konsep kesederhanaan dalam kalangan penganutnya.