Rakyat harap Sultan Ibrahim bawa kecemerlangan dalam pemerintahan negara

Fahmi Izuddin
Januari 31, 2024 11:23 MYT
Rakyat berharap kecemerlangan pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Johor dapat diterjemahkan dalam pemerintahan baginda sepanjang lima tahun sebagai ketua negara. - Gambar Bernama
SUBANG: Rakyat berharap kecemerlangan pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Johor dapat diterjemahkan dalam pemerintahan baginda sepanjang lima tahun sebagai ketua negara.
Tinjauan Astro AWANI di Istiadat Keberangkatan Sultan Ibrahim di Pangkalan Tentera Udara (TUDM), di sini, mendapati rakyat yang ditemui cukup teruja dan berharap negara kekal cemerlang di bawah pemerintahan baginda.
Seorang pesara, Zamri Ali berkongsi keterujaan beliau sebagai rakyat untuk menerima Sultan Ibrahim sebagai Ketua Negara yang baharu.
“Sewaktu kepulangan Al-Sultan Abdullah pun saya ada, dan hari ini ketibaan Agong baharu saya turut hadir.
“Saya cukup bersemangat dan gembira sebagai rakyat Malaysia, kita harapkan Agong yang baru menjadikan negara kita lebih harmoni,” ujarnya.
Sementara itu, seorang penjawat awam, Suriani Johari berharap kecemerlangan pemerintahan yang pernah dibawa oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini dapat dikekalkan oleh Sultan Ibrahim.
“Kami (rakyat) amat berbesar hati dan teruja, dan kami harapkan apa yang telah diterjemahkan oleh Agong sebelum ini dapat disambung oleh Agong baharu.
“Kami pasti kecemerlangan di negeri Johor, dapat dibawa kepada kecemerlangan negara kita juga,” katanya.
Sultan Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini bagi tempoh lima tahun.
Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan itu diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara.
Pada istiadat itu akan turut menyaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.
#Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #Agong Kita #Istiadat Keberangkatan Tiba
;