Rakyat diseru sahut inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang - Saarani

Bernama
Ogos 3, 2024 15:40 MYT
Saarani berkata mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dilihat sebagai simbolik menyandang identiti sebagai rakyat Malaysia. - Gambar fail/Astro AWANI
LUMUT: Rakyat Perak diminta menyahut inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang bagi mengembangkan semangat jati diri dan cintakan negara.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dilihat sebagai simbolik menyandang identiti sebagai rakyat Malaysia.
"Saya juga berharap bukan hanya kediaman, malah premis-premis perniagaan di dalam negeri ini juga seharusnya mengibarkan Jalur Gemilang sebagai manifestasi sokongan kita terhadap perjuangan anak bangsa terdahulu," katanya dalam ucapan perasmian Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Perak 2024 di Dataran Putra, Bandar Lumut di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mewakili Saarani.
Sementara itu, Saarani mahu rakyat supaya bersatu padu, selain menolak sebarang usaha yang boleh mengundang pertelingkahan serta bibit perpecahan terutama di platform media sosial.
Beliau berkata pada ketika ini, penyalahgunaan medium itu dilihat membimbangkan dan ia sering kali digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengancam keharmonian negara.
"Golongan ini sanggup memecahbelahkan masyarakat dengan menyemarakkan api permusuhan melalui tindakan tidak beretika.
"Justeru, setiap individu seharusnya memainkan peranan dengan hanya menyebarkan kandungan yang sahih dan berfaedah demi mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini," katanya.
Sementara itu, kira-kira 5,000 pengunjung terdiri daripada penjawat awam serta masyarakat di sekitar Manjung menghadiri program berkenaan.
Sebanyak 19 kenderaan mewakili 16 agensi peringkat Persekutuan dan negeri telah menyertai konvoi perarakan sebagai simbolik bagi sambutan program itu.
-- BERNAMA
#Jalur Gemilang #media sosial #penjawat awam #Sistem Pangkalan Data Utama