Rakyat diseru hormati pekerja asing - NGO
Bernama
Julai 8, 2016 07:20 MYT
Julai 8, 2016 07:20 MYT
Rakyat negara ini perlu menghargai sumbangan pekerja asing kepada perkembangan ekonomi negara serta menghormati kehadiran mereka dengan memberi layanan secara adil dan saksama.
Kempen 'Migrations Works', sebuah badan bukan kerajaan (NGO), berkata salah satu sebab pekerja asing diberi layanan buruk oleh sesetengah pihak adalah persepsi bahawa kebanyakan mereka datang dari negara-negara yang kurang membangun berbanding Malaysia.
Justeru, secara psikologi pihak-pihak tertentu menganggap mereka ini sebagai golongan kelas bawahan, kata jurucakap badan itu, Raymund Jagan.
Bagaimanapun, bagi mengurangkan prejudis ini, rakyat tempatan perlu cuba berinteraksi dengan pekerja asing dengan mengucap 'Terima Kasih' ketika diberi layanan di restoran atau tempat umum mahupun mengadakan perbualan bagi memahami masalah mereka.
"Apabila berinteraksi dengan mana-mana pekerja asing, rakyat Malaysia kerap melihat diri mereka sebagai kumpulan yang lebih hebat dan lebih baik dan pekerja asing sebagai kumpulan minoriti.
"Rakyat kita jarang memberi penekanan kepada bangsa pekerja asing tetapi lebih kepada kewarganegaraan mereka," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama News Channel (BNC) di sini pada Jumaat.
Malaysia mempunyai pekerja asing dari Indonesia, Myanmar, Vietnam, Laos, Kemboja, Filipina, Thailand, Uzbekistan, Turkmenistan, Kazakshstan, Bangladesh, Pakistan, Nepal, India dan Sri Lanka.
Dianggarkan sebanyak 1.5 juta pekerja asing berkerja di negara ini dalam sektor pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian, pembantu rumah dan sektor perkhidmatan manakala turut mempunyai bilangan besar pekerja asing tanpa izin.
Raymund berkata sebagai komuniti, orang selalu membuat tafsiran mengenai warga asing mengikut negara asal mereka dan ini banyak dipengaruhi oleh apa yang mereka dengar dan melihat di media.
"Apabila kita tidak mengenali mereka, kita cenderung membuat andaian tentang mereka,' katanya.
Beliau berkata wujud persepsi silap bahawa pekerja asing mendominasi pekerjaan yang sepatutnya diisi oleh penduduk tempatan.
Kebanyakan penduduk tempatan enggan bekerja dalam sektor yang dikategorikan sebagai 3D iaitu bahaya, kotor dan sukar kerana tawaran gaji yang rendah, katanya.
Selain itu, katanya, rakyat Malaysia mempunyai persepsi silap bahawa pekerja asing menyumbang ke peningkatan kadar jenayah di negara ini.
Menurut, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, statistik menunjukkan 93 peratus kadar jenayah di negara ini dilakukan oleh warga tempatan manakala hanya tujuh peratus terdiri daripada warga asing.