Rakyat diseru ambil pelbagai peluang terhidang dalam ekonomi digital - Annuar

Bernama
September 10, 2022 20:05 MYT
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (kiri) berucap pada program #Saya Digital Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di Bedudu Cafe Putatan hari ini. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Rakyat negara ini terutama usahawan diseru supaya mengambil pelbagai peluang yang terhidang dalam ekonomi digital bagi mentransformasikan kehidupan mereka ke arah yang lebih baik, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata bagi membantu rakyat ke arah itu, kementeriannya telah melaksanakan pelbagai program untuk memberi pengetahuan serta kesedaran bagi membolehkan rakyat menggunakan sebaiknya peluang dalam ekonomi digital.
Katanya selain itu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah diberi tanggungjawab bagi memastikan proses transformasi rakyat ke arah ekonomi digital itu berjalan lancar antaranya melalui program #SayaDigital.
"Program #SayaDigital ini jelajah ke segenap kampung, negeri untuk memberikan pendedahan kepada orang kita supaya perniagaan secara konvensional itu satu cara tetapi menyertai perniagaan cara baharu melalui ekonomi digital juga adalah cara yang mesti kita semua terokai.
Kita mengajak rakyat ramai-ramai supaya mengambil bahagian sepenuhnya dalam konsep ekonomi digital," katanya ketika berucap semasa hadir pada program #SayaDigital Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di Putatan di sini hari ini.
Annuar berkata program #SayaDigital juga akan dapat mengajar dan membantu para usahawan muda serta usahawan wanita untuk memanfaatkan sepenuhnya platform ekonomi digital.
Beliau berkata dalam konteks negeri Sabah, usahawan yang mampu maju ke depan terutama melalui ekonomi digital memainkan peranan penting bersama kerajaan negeri dalam memakmurkan dan memajukan ekonomi negeri itu.
"Negeri tidak boleh maju dengan hanya duit kerajaan, tiada negara dalam dunia ini menjadi besar dengan projek kerajaan, mana-mana negara di dunia yang menjadi maju dan besar itu kerana penyertaan kelompok-kelompok usahawan dan pelabur," katanya.
-- BERNAMA
#ekonomi digital #Menteri Komunikasi dan Multimedia #Annuar Musa #MDEC #Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia
;