Rakyat dinasihat buat pilihan bijak ketika guna 'Pay Later'

Ridauddin Daud
Mac 15, 2022 12:20 MYT
Menurut Yamani Hafez, BNPL (Pay Later) kini merupakan inovasi kewangan baharu yang berkembang dengan agak pesat. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Rakyat perlu membuat keputusan bijak dalam melakukan pembelian terutamanya yang membabitkan skim "Buy Now Pay Later" (BNPL), kata Timbalan Menteri Kewangan 2, Yamani Hafez Musa.
Menurutnya, orang ramai dinasihati melaksanakan tiga perkara penting apabila menggunakan sistem itu dan pertamanya adalah memahami terlebih dahulu terma dan syarat BNPL terutamanya berkaitan yuran dan caj yang boleh dikenakan.
“Biarpun mereka menyatakan kad BNPL ini kosong peratus faedah tetapi dia ada caj-caj seperti processing fee, administration fee dan late charges fee kalau lambat bayar.
“Kedua, kita kena pastikan juga pembayaran ansuran dibuat secara penuh dan tepat pada masa yang dipersetujui bagi mengelakkan caj penalti.
“Akhir sekali, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memantau semua komitmen BNPL yang dibuat bagi memastikan pengurusan hutang peribadi kekal terurus,” katanya.
Begitupun, kata beliau, aktiviti BNPL tidak tertakluk di bawah bidang kuasa mana-mana agen pengawalseliaan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lukanisman Awang Sauni (GPS - Sibuti) di Dewan Rakyat pada Selasa yang bertanya adakah kerajaan amemantau secara teliti mengenai kaedah pembelian BNPL di platform perdagangan dalam talian.
Tambah Yamani Hafez, BNPL kini merupakan inovasi kewangan baharu yang berkembang dengan agak pesat.
“Kerajaan juga menjangkakan banyak lagi inovasi baharu akan diperkenalkan sejajar dengan pemesatan digital yang memerlukan inovasi ini dikawal dengan baik dan tidak menimbulkan isu pada masa hadapan,” ujarnya.
#Pay Later #dalam talian #Yamani Hafez Musa #Timbalan Menteri Kewangan #Dewan Rakyat
;