Rakyat diminta serah isu 1MDB kepada pihak berkuasa - Razali

Bernama
Julai 25, 2015 23:48 MYT
RAZALI: Negara mempunyai sistem perundangan yang telus bagi menyiasat pihak yang terbabit dalam isu berkenaan. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Rakyat diminta supaya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana ia melibatkan maruah negara dan bukan parti politik yang memerintah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata negara mempunyai sistem perundangan yang telus bagi menyiasat pihak yang terbabit dalam isu berkenaan.
"Bersekongkol dengan musuh tidak menjadikan kita sebagai hero," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kota Melaka, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd. (PetroSaudi), Andre Justo Xavier, yang kini ditahan oleh polis Thailand atas dakwaan cuba memeras ugut bekas majikannya.
Dalam temu bual eksklusif dengan akhbar Straits Times dari Singapura di penjara Thailand baru-baru ini, Justo mendakwa dia bersetuju menjual maklumat sulit yang dicuri daripada bekas majikannya kepada pengendali laman Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan seorang ahli perniagaan Malaysia yang merancang meminda maklumat berkenaan sebagai cubaan menjatuhkan kerajaan Malaysia.
Mengulas lanjut, Razali berkata pendedahan Justo itu perlu diterima oleh rakyat sementara menunggu siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa terhadap 1MDB.
"Pendedahan ini diharap tidak akan dikatakan sebagai sandiwara," katanya.
Pada majlis itu, Razali turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Puteri UMNO Malaysia dengan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) bagi program Transformasi Pemikiran Islam (Trapi).
Ia bertujuan memantapkan pemahaman ahli Puteri terhadap beberapa isu kenegaraan dan isu semasa.
Memorandum itu ditandatangani oleh Ketua Penerangan Puteri UMNO, Haryaty Hamdzah dan Ketua Pegawai Eksekutif IKSIM, Profesor Datuk Mohamad Naser Disa.
#1MDB #Andre Justo Xavier #Clare Rewcastle-Brown #Datuk Razali Ibrahim