Rakyat diharap terus beri sokongan kepada industri filem tempatan - Fahmi

Bernama
Januari 14, 2023 20:15 MYT
Fahmi menghadiri tayangan amal Mechamato Movie bersama warga Lembah Pantai di kompleks beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur, pada Sabtu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diharap akan terus memberi sokongan kepada industri filem tempatan termasuk filem animasi seperti Mechamato Movie, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Beliau berkata Mechamato Movie merupakan antara filem animasi yang mampu mencuit setiap hati penonton.
"Mechamato juga boleh dilihat segenap lapisan masyarakat dan kreativiti watak serta jalan cerita yang menarik," kata Fahmi menerusi catatan di Facebook beliau pada Sabtu.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios (Monsta) Nizam Abd Razak atas kejayaan mengeluarkan filem animasi yang terbaik untuk industri tempatan.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata beliau menghadiri tayangan amal Mechamato Movie bersama warga Lembah Pantai di kompleks beli-belah Mid Valley, pada Sabtu.
Disember lepas, Bernama melaporkan Mechamato Movie, filem animasi 3D keluaran tempatan telah berjaya meraih kutipan RM1.1 juta pada hari pertama tayangannya.
-- BERNAMA
#Fahmi Fadzil #Mechamato Movie #MONSTA #filem animasi 3D Malaysia