Rakyat digesa tanam budaya 'sense of belonging' - Panglima ATM

Umavathi Ramayah
September 16, 2020 11:48 MYT
Affendi Buang berkata, penularan COVID-19 ini tidak menjadi penghalang untuk dari terus menzahirkan rasa kecintaan dan kemegahan di dalam menyambut hari ATM ini. - Bernama
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang menggesa rakyat Malaysia untuk terus memperkuatkan semangat patriotisme dan nasionalisme dengan menanam budaya sense of belonging dan sense of ownership dalam sanubari.
Beliau berkata, dengan dengan pengukukuhan semangat dan budaya ini, kesatuan antara rakyat dan ATM akan dapat terbentuk sekali gus berupaya menuju Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur tercapai.
"Dengan ini, saya mewakili seluruh warga ATM menzahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat yang setia menaruh keyakinan, kepercayaan, serta sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kami dalam menggalas tanggungjawab penuh mempertahankan kedaulatan tanahair yang tercinta ini," katanya ketika Perutusan Khas sempena Hari ATM ke-87 di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Affendi berkata, penularan COVID-19 ini tidak menjadi penghalang untuk dari terus menzahirkan rasa kecintaan dan kemegahan di dalam menyambut hari yang penting dan bersejarah itu.
Beliau juga mengingatkan warga ATM untuk terus bertekad menaburkan bakti dalam memikul amanah dalam memperkukuhkan relevansi, agar organisasi perdana itu terus kekal utuh sebagai barisan hadapan dalam mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta.
"Saya mengucapkan selamat menyambut hari ATM ke-87. Teruskan memberi komitmen yang jitu tidak kira sama ada di darat, laut dan juga udara, atau di mana jua anda berada, terutamanya pada waktu ancaman wabak pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara.
"Sesungguhnya, saya berbangga dengan anda semua sebagai wira-wira negara yang menjadi tunjang utama dalam mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan pertiwi yang kita sayangi ini," ujarnya.
#Angkatan Tentera Malaysia #COVID-19 #pandemik #rakyat Malaysia
;