Rakyat digalak muat turun MySejahtera, MyTrace dan Gerak - Ismail Sabri

Ridauddin Daud
Mei 28, 2020 15:28 MYT
Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak halang rakyat muat turun aplikasi disediakan kerajaan negeri. - Gambar BERNAMA
Kerajaan menggalakkan rakyat memuat turun aplikasi MySejahtera, MyTrace dan Gerak bagi memudahkan urusan mereka terutama ketika ingin memasuki pusat beli belah atau restoran.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam pada itu kerajaan tidak menghalang mereka memuat turun aplikasi yang disediakan kerajaan negeri.
“Kita tak halang kerajaan negeri ada aplikasi sendiri tapi Kerajaan Persekutuan, kita ada MySejahtera, MyTrace dan Gerak. Aplikasi Gerak kita akan gunakan nanti dan dalam aplikasi itu, pengguna akan dapat kod QR.
“Nanti bila mereka pergi pusat beli belah, mereka hanya guna kod itu dan tidak perlu tulis nama dan sebagainya... cukup dengan kod QR.
“Saya galakkan orang ramai memuat turun aplikasi daripada Kerajaan Persekutuan ini,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya pada Khamis.
Kerajaan negeri seperti Selangor dan Terengganu turut membangunkan aplikasi sendiri bagi membantu merekod maklumat pelanggan yang berkunjung ke sesebuah premis.
Tindakan itu bagaimanapun dikatakan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat yang tidak pasti aplikasi mana yang perlu mereka muat turun dan gunakan.
#Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob #ismail sabri yaakob #kerajaan #keselamatan #Media #menteri #Menteri Kanan #MySejahtera #MyTrace #Putrajaya #rakyat
;