Rakyat China pilih produk dari Malaysia, susulan skandal makanan tercemar negara itu

Bernama
Oktober 28, 2017 16:38 MYT
Antara yang menjadi pilihan popular rakyat China adalah produk durian Musang King dan 'white coffee' keluaran Malaysia. -
Penggiat e-dagang tempatan perlu menggunakan WeChat untuk menembusi pasaran makanan dan minuman (F&B) China berikutan barangan makanan Malaysia, terutamanya makanan beku dan dibungkus, popular di republik itu, kata pemikir kanan Ebrun dari China, Ye Zhi Rong.
Kolumnis di syarikat media e-dagang terbesar China itu berkata rakyat China memilih untuk membeli produk antarabangsa, terutamanya 'Buatan Malaysia', yang dianggap berkualiti tinggi dan dipercayai susulan pelbagai skandal makanan tercemar di sana sejak beberapa tahun ini.
"Dengan menggunakan WeChat, pelabur Malaysia dapat memanfaatkan sistem pembayarannya bagi pengguna China, sekali gus memaksimumkan keuntungan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Antarabangsa SF di sini pada Sabtu.
Ye berkata antara makanan Malaysia yang popular dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan rakyat China ialah durian 'Musang King' dan 'white coffee'.
"Durian beku Malaysia, yang boleh didapati di China, sebagai pulpa beku dan puri, popular dalam kalangan restoran dan syarikat pemprosesan makanan, dan boleh dimakan seperti durian segar.
"Pelabur dan usahawan Malaysia boleh menggunakan WeChat untuk memasarkan produk makanan mereka dengan berkongsi kandungan dan mesej, dan malah memindahkan wang melalui aplikasi tanpa pergi ke China.
"WeChat turut membenarkan pelabur asing untuk berinteraksi dengan pengguna mereka melalui cara yang belum mencapai skala sama di dunia Barat," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Penyelesaian Pelanggan Unit Perniagaan Antarabangsa SF Express Joshua Ruskin berkata peniaga e-dagang Malaysia perlu mengkaji sikap pengguna China sebelum mengeksport produk mereka ke China.
Beliau berkata berdasarkan Suruhanjaya Perdagangan dan Pelaburan Australia, produk utama adalah makanan bayi dan susu tepung berikutan terdapat skandal keselamatan makanan di China selain makanan laut susulan ia mempunyai peranan penting dalam pola penggunaan China, terutamanya semasa perayaan.
Beliau berkata antara cabaran yang dihadapi oleh peniaga adalah prosedur kastam yang rumit, peraturan cukai, harga tidak telus, halangan dari segi bahasa, kurang kesedaran mengenai jenama baharu dan perbezaan budaya.
"SF Express dapat menyesuaikan penyelesaian bagi semua peniaga e-dagang di pelbagai peringkat pembangunan perniagaan, termasuk logistik, pelepasan kastam, pemasaran dan membantu peniaga memasuki pasaran China," katanya.
-- BERNAMA
#buatan malaysia #China #ekonomi #makanan #Malaysia #pelaburan #peniaga #produk #rakyat #usahawan
;