Rakyat boleh terima keputusan jika mengikut proses sepatutnya - Penganalisis politik

Madiha Abdullah
Oktober 24, 2020 14:37 MYT
Kerajaan perlu bertindak mengikut proses perundangan dan memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat berkenaan tindakan tersebut. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Rakyat boleh menerima apa sahaja keputusan yang akan diambil kerajaan, sekiranya ia melalui proses yang sepatutnya.
Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpendapat, dua perkara penting yang perlu dilakukan kerajaan sekiranya mahu mendapat restu rakyat dalam apa jua keputusan ialah bertindak mengikut proses perundangan dan memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat berkenaan tindakan tersebut.
"Pertama, setiap proses perlu melalui proses perundangan yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan. Ini yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlu diikuti semua pihak kerana perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara.
"Kedua, apabila melibatkan proses lain seperti menjelaskan kepada rakyat, ia perlu dilakukan dalam kadar segera. Jangan biarkan sebarang isu atau keputusan yang dibuat itu tergantung atau dilengahkan," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, hari ini.
Tambahnya, rakyat bebas untuk memberikan pendapat dan mengkritik, tetapi hakikatnya tidak semua mereka memahami proses undang-undang.
"Ada yang nak bercakap tentang undang-undang dan perlembagaan tetapi mereka tidak faham. Saya lihat ramai pakar-pakar perlembagaan segera muncul, khususnya di media sosial yang memberikan pandangan sehingga mengelirukan.
"Rujuklah kepada pakar yang layak memberikan penjelasan kerana bukan semua orang boleh bercakap tentang undang-undang," katanya.
BACA: LAPOR LANGSUNG: Darurat? Ini perkembangan politik negara
BACA: Agong nasihat rakyat tenang, sabar, jangan spekulasi
BACA: Darurat tidak akan bantu tangani COVID-19 - Dr Mahathir
BACA: Pertahankan perlembagaan ketika tangani krisis - Mohamad Hasan
Beliau juga meluahkan kekesalan dengan tindakan ahli politik hari ini yang dianggap merosakkan keharmonian dan ketenangan rakyat.
"Inilah keuntungan bagi Malaysia sebuah negara yang mengamalkan konsep (sistem) Raja Berpelembagaan. Kalau kita lihat kenyataan dari Istana Negara sebentar tadi, ia sebenarnya satu cara untuk meredakan keresahan rakyat.
"Fungsi Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong itu sangat penting bukan sahaja untuk menyelesaikan kemelut politik tetapi juga tempat rakyat bergantung," ujarnya.
#politik #Yang di-Pertuan Agong #kerajaan #Perlembagaan #perundangan #undang-undang #rakyat #darurat #Dr Mohammad Tawfik Yaakub #Perlembagaan Persekutuan
;