Rakyat berpeluang saksi Alat Kebesaran Diraja sempena pertabalan Agong
Bernama
Julai 12, 2024 18:00 MYT
Julai 12, 2024 18:00 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat berpeluang menyaksikan Alat Kebesaran Diraja yang akan dibawa dengan tertib oleh para panglima, hulubalang istana dan Dang Perwara bersempena dengan Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai ini.
Ringkasan AI
- Rakyat boleh menyaksikan Alat Kebesaran Diraja sempena Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai ini, termasuk pedang, keris panjang, sundang Diraja, payung ubur-ubur kuning, dan tombak berambu.
- Acara istiadat bermula pada 18 Julai dengan bacaan Yasin dan doa selamat, diikuti Khutbah Jumaat khas pada 19 Julai, dan Majlis Santapan Diraja pada malam 20 Julai di Istana Negara.
- Acara tambahan termasuk Raja Permaisuri Agong melawat Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai, Pameran Raja Kita di Muzium Negara pada 25 Julai, dan Jamuan Teh Diraja di Istana Negara pada 27 Julai.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, antara alat kebesaran itu ialah pedang, keris panjang dan sundang Diraja, tiga senjata Melayu tradisional yang dijadikan sebahagian daripada Alat Kebesaran Diraja serta payung ubur-ubur kuning dan tombak berambu.
"Alat kebesaran ini menjadi identiti atau imej pemerintah dan kerajaannya. Bagi Malaysia yang memelihara Institusi Beraja dengan mengangkat Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Negara, Alat Kebesaran Diraja ini diwarisi sejak kemerdekaan negara," menurut hantaran itu.
Acara-acara bersempena dengan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan bermula pada 18 Julai ini dengan majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Negara, diikuti Khutbah Jumaat khas pada 19 Julai.
Pada malam 20 Julai akan berlangsung Majlis Santapan Diraja di Istana Negara.
Sementara itu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dijadualkan berangkat ke Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai, manakala Pameran Raja Kita di Muzium Negara akan diadakan pada 25 Julai.
Acara-acara bersempena dengan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 diakhiri dengan Jamuan Teh Diraja di Istana Negara pada 27 Julai.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas.
-- BERNAMA