Rakyat belum matang, belum reti sambut keihsanan dengan budi - Teme Abdullah
Afiq Ariffin
September 13, 2019 10:13 MYT
September 13, 2019 10:13 MYT
“KITA beruntung. Tatkala manusia berebut-rebut memperaga kuasa, kita punyai penaung negara yang turun bergaul dengan rakyat jelata, berusaha bersungguh-sungguh untuk berdamping di medan bersama rakyatnya."
Itu kata-kata yang diluahkan arkitek dan juga penulis, Teme Abdullah yang melontarkan rasa kecewa dengan segelintir masyarakat yang tidak tahu menghargai keprihatinan pasangan Diraja, khususnya Raja Permaisuri Agong Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di media sosial.
Melalui akaun Twitternya @itsteme, Teme Abdullah berasa bangga kerana berpeluang mengenali Raja Permaisuri Agong secara dekat setelah hasil lukisannya pernah dipilih pasangan Diraja itu sebelum ini.
Menurut Teme Abdullah, beliau sedih dengan berita penutupan akaun Twitter Raja Permaisuri Agong gara-gara segelintir netizen yang kurang senang dengan kehadiran baginda di media sosial.
Jelas Teme Abdullah, ada segelintir rakyat yang tidak tahu berbudi dan tidak mengenal jati diri.
“Baginda Tuanku berdua sudah tidak perlukan publisiti. Wajah DYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong & DYMM SPB Raja Permaisuri Agong sudah terpampang merata-rata di seluruh pelosok negeri.
“Publisiti tidak langsung menjadi agenda. Kehadiran Duli Tuanku di social media hanyalah gerakan ihsan untuk rapat dengan rakyat,” ujarnya.
Akan tetapi, jelas Teme Abdullah, rakyat malangnya belum matang untuk menghargai dan belum reti menyambut keihsanan dengan budi.
Teme turut menasihatkan orang ramai agar tidak sesekali mengeluarkan kata-kata yang berunsurkan negatif sekiranya tiada perkara baik yang boleh disampaikan.
“Kawan-kawan, kalau tiada perkataan yang baik untuk dikeluarkan, maka diamlah.
“Hati yang busuk sepatutnya disekang dalam-dalam. Janganlah sebarkan bau itu ke serata alam. Deria kami di sini tidak mampu menghadam. Cukuplah dengan jerebu di Malaysia,” katanya.
Dengan nada 'memujuk', Teme juga menjelaskan tentang akhlak dan budi pekerti yang sepatutnya diterapkan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Masyarakat nusantara terkenal dengan akhlak murni. Islam juga mengajar akhlak dan pekerti meskipun dalam berperang.
“Inikan pula berakhlak terhadap ketua negara. Maka, peliharalah nilai itu, pasakkan teguh di sanubari.
“Maka jadikanlah diri kita dalam kalangan mereka-mereka yang beruntung masih punyai kemewahan adab dan budi dalam jiwa,” nasihatnya lagi.
Teme Abdullah turut berkongsi gambar terkini Baginda Raja Permaisuri Agong bersama Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
#agenda
#Azizah
#baginda
#Islam
#media sosial
#rakyat Malaysia
#tuanku
#Twitter
#Yang di-Pertuan Agong