Rakan kenang Rehman sebagai pendebat unggul
Harits Asyraf Hasnan
Jun 3, 2017 17:21 MYT
Jun 3, 2017 17:21 MYT
Halus dalam bahasa, petah dalam berkata; itulah personaliti yang paling sesuai untuk menggambarkan personaliti Allahyarham Rehman Rashid.
Bagi Ketua Pengarang The Malaysian Reserve, Zulkifli Othman, perkenalan dengan Rehman sejak zaman persekolahan di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) menggamit pelbagai kenangan manis.
Zulkifli berkata, setiap bait perkataan yang diungkap Rehman, sama ada dalam percakapan harian mahupun perdebatan, sungguh meyakinkan.
"Saya ingat dia (Rehman) berdebat dalam bahasa Inggeris mewakili MCKK suatu masa dahulu. Bahasa beliau terlalu halus dan memang menarik dan sungguh meyakinkan.
"Rehman memang suka bahasa Inggeris. Kalau dia menyertai pertandingan debat, dia selalu akan menjadi pendebat terbaik. Walupun MCKK tewas, tetapi dia boleh menang pendebat terbaik," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Malah, jelas Zulkifli, Rehman ibarat bintang 'rock' di MCKK apabila seringkali menjadi pendebat terbaik sekaligus meletakkan taraf seiring pemain ragbi mahupun pemain bola sepak.
"Rehman seperti 'rock star' juga, sama status macam pemain bola sepak dan pemain ragbi pada masa itu. Jadi, kalau pasukan debat lawan adalah pasukan perempuan, selalu dia akan menang sebab dia kacak," katanya.
Hubungan Zulkifli dan Rehman yang terputus selepas masing-masing melanjut pengajian bersambung semula selepas Zulkifli diterima masuk ke New Straits Times Press (NSTP) pada lewat 90an.
"Selepas sekolah, kami terputus hubungan dan saya kenal dia kembali semasa saya bertugas di NSTP. Waktu itu saya sebagai wartawan kadet dan dia pula adalah penulis pojok dan juga editor.
"Saya banyak sangat belajar daripada dia. Dia seorang yang 'greater than life' kalau nak diibaratkan pada dia," katanya.