Rakaman video Siti Bainun layan saksi didakwa seperti 'hamba abdi' ditayang di mahkamah

Bernama
April 15, 2022 19:47 MYT
Mahkamah Sesyen di sini hari ini ditunjukkan beberapa rakaman video yang memaparkan layanan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Abd Razali terhadap penghuninya yang didakwa layanan seperti 'hamba abdi'. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini ditunjukkan beberapa rakaman video yang memaparkan layanan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Abd Razali terhadap penghuninya yang didakwa layanan seperti 'hamba abdi'.
Antara rakaman tersebut adalah sambutan hari lahir Yasmin Nahar Mahmood, 19, yang ketika itu penghuni di rumah tersebut, video Yasmin bercuti bersama Siti Bainun di sebuah hotel dan sambutan Hari Raya.
Pada prosiding terdahulu, Yasmin, saksi pendakwaan kelima, berkata dia telah dilayan seperti hamba abdi oleh Siti Bainun ketika menetap di rumah perlindungan itu.
Menjawab pertanyaan peguam Nur A'minahtul Mardiah Md Nor yang merujuk video tersebut, adakah ia dikatakan layanan hamba abdi yang diberikan Siti Bainun dan Yasmin menjawab: Ya.
Saksi tersebut berkata demikian ketika disoal balas peguam mewakili Siti Bainun yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella berusia 13 tahun.
Merujuk kepada rakaman video sewaktu sambutan Hari Raya pada 22 Mei 2021, saksi itu berkata Bella yang paling lama memeluk Siti Bainun.
Nur A'minahtul Mardiah: Bella peluk pendera dia paling lama dan kuat.
Yasmin: Ya.
Nur A'minahtul Mardiah: Jadi Bella tak takutlah kepada penderanya?Yasmin: Ya.
Pada prosiding hari ini juga, pihak pembelaan menyenaraikan 10 keterangan Yasmin yang dikatakan penipuan semata-mata.
Antara keterangan itu adalah mengenai keadaan Bella yang dikatakan asyik terjatuh apabila berjalan kerana kakinya lemah selepas sering didera (rakaman video menunjukkan Bella mampu berjalan seperti biasa) dan dipukul dengan penyangkut baju sehingga patah (Yasmin berada di Rumah Perlindungan Jitra, Kedah ketika kejadian kononnya berlaku).
Yasmin bagaimanapun menafikan bahawa keterangan yang diberikan adalah palsu.
Terdahulu kepada soalan peguam Asiah Abdul Jalil, Yasmin berkata Siti Bainun telah mengarahkannya menyapu ubat pada luka di tubuh Bella dan ubat itu dibeli sendiri oleh tertuduh.
Saksi itu bersetuju dengan gambar ubat yang digunakan pada Bella antaranya pelembab aloe vera, ubat kuning, penyembur luka, cecair pembasmi kuman dan pembalut luka.
Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung Rabu depan.
-- BERNAMA
#rakaman video #Siti Bainun Abd Razali #Yasmin Nahar Mahmood #hamba abdi #Bella
;