Rakaman video dera bayi merupakan kes lama - polis
Kohilah Sekaran
Mei 19, 2015 18:19 MYT
Mei 19, 2015 18:19 MYT
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Anuar Bin Othman hari ini mengeluarkan sebuah kenyataan susulan penyebaran video bayi didera yang menjadi viral dalam laman sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp sejak beberapa hari lepas.
Menurut sebuah kenyataan, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Anuar Bin Othman yang dimuat naik dalam akaun Facebook Polis Perak, hasil siasatan mendapati mangsa iaitu bayi dan suspek yang merupakan ibunya sendiri merupakan individu yang sama terlibat dalam rakaman video pada 19 April 2015.
Difahamkan, siasatan juga mendapati suspek berkenaan pernah membuat rakaman yang lain selain rakaman yang menjadi viral sebelum ini. Isu yang timbul sejak beberapa hari lalu bukan kes penderaan yang baharu dilaporkan.
Menurut Supt Anuar, bayi itu kini berada di bawah jagaan neneknya sejak dikeluarkan dari hospital untuk pemeriksaan.
Suspek, dalam pada itu, telah diberi kaunseling oleh Victim Care Office (VCO) Perak dan bayi berkenaan diselia oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Bayi tersebut kini dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan hasil pemeriksaan doktor mendapati tiada sebarang kecederaan di bahagian badan dan kepala mangsa.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.