Rakaman CCTV pembunuhan Jong Nam: Cukur janggut, misai kelirukan identiti

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 26, 2017 19:59 MYT
Antara rakaman yang didedahkan Wan Azirul kepada Hakim Datuk Azmi Ariffin termasuk pergerakan empat suspek masih bebas yang didakwa bersama melakukan pembunuhan tersebut. - Gambar fail
Empat suspek kes pembunuhan Kim Jong-nam atau Kim Chol, iaitu abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, yang masih bebas dilihat aktif berkomunikasi selama lebih satu jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sebelum muka mangsa warga Korea Utara itu disapu dengan agen saraf VX.
Berdasarkan lebih 40 klip rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditayangkan ketika perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, empat individu masih bebas yang dituduh bersama itu turut menukar identiti mereka selepas kejadian itu berlaku.
Polis melabelkan empat lelaki terbabit sebagai 'Hanamori', 'Mr Y', 'Mr Chang' dan 'James' yang kewarganegaraan mereka masih belum dapat dipastikan.
Salah sebuah restoran di klia2 menjadi lokasi pertemuan empat individu tersebut, namun bukan secara serentak.
Malah, dua daripada mereka turut bertemu dengan dua tertuduh, warga Vietnam Doan Thi Huong, 28 dan warga Indonesia Siti Asyah, 25 yang didakwa membunuh Jong Nam.
BACA: Prosiding Jong Nam: Polis serah pasport bawah nama 'Kim Chol' kepada kedutaan
Pegawai Penyiasat Asisten Supritendan Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz memaklumkan mahkamah yang Hanamori dilihat sebagai perancang utama.
Dia yang memakai baju berwarna ungu dilihat menenemui Mr Y, Mr Chang dan James di klia2.
Rakaman CCTV dengan jelas menunjukkan Mr Y dan Mr Chang keluar dari sebuah kenderaan model Naza Ria berwarna hitam pada jam 7.28 pagi di aras 3 klia2.
BACA: Menelusuri riwayat Kim Jong Nam: Siapa dan mengapa?
Mr Y dilihat memakai kemeja kelabu, berseluar gelap, bertopi dan membawa beg galas hitam.
Sementara Mr Chang memakai kemeja-t berpenutup kepala (hoodie) sambil memegang beg plastik putih.
Mr Y kelihatan bertemu dan berjalan bersama Doan di balai berlepas aras 3.
Lebih kurang sejam sebelum serangan, Hanamori dilihat bertemu dengan James, lelaki di mana peguam bela mendakwa merekrut Siti, dan memperkenalkannya kepada Mr Chang.
BACA: Bekas perisik Korea Utara sifatkan suspek pembunuhan Kim Jong Nam hanya amatur
Hanamori turut bertemu Mr Y dan Mr Chang secara berasingan di restoran itu lebih sejam sebelum serangan.
Pukul 8.18 pagi, Mr Chang bertemu Siti Aisyah di restoran, di mana Wan Azirul berkata Mr Chang menyerahkan tiket teksi kepada Siti yang dibeli sebelum itu di aras 1 klia2.
Mr Chang kelihatan mempunyai janggut dan misai apabila dirakam mukanya semasa membeli sebotol air mineral di restoran itu.
Jelas Wan Azirul, muka Jong Nam dilumur dengan senjata kimia itu pukul 9 pagi.
"Hanamori masih berada di kawasan itu sepertinya untuk memastikan ia berjalan mengikut perancangan," kata Azirul ketika visual menunjukkan Hanamori berada di kawasan merokok di aras 3 pukul 9.04 pagi.
BACA: Pembunuhan Jong Nam: Polis menahan seorang lagi suspek, warga Korea
Mr Y dan Mr Chang kemudian kelihatan memasuki tandas dan keluar dengan kemeja T lain dan tanpa topi.
Mr Chang juga sudah tidak berjanggut dan misai ketika keluar dari tandas.
Mr Y keluar dari tandas di tingkat 2M pada 9:23 pagi dengan pakaian lain dan tanpa begnya dan pada 9:28 pagi, Mr Chang menuju ke tingkat 1 ke arah perhentian teksi, memakai baju lain dan tanpa beg plastik putih.
"Kami dapat mengenal pasti mereka daripada bentuk tubuh, dan cara mereka bergerak serta pakaian. Apa yang saya perasan tentang semua suspek ialah walaupun mereka tukar baju dan penampilan, mereka tidak tukar kasut," kata Wan Azirul apabila ditanya bagaimana beliau membezakan suspek tersebut.
Beberapa hari selepas serangan itu, polis mendedahkan nama empat warga Korea Utara – Ri Ji Hyon, 33, Hong So Hac, 34, O Jong Gil, 55, dan Ri Jae Nam, 57 sebagai suspek.
Mereka melarikan diri dari negara ini pada hari sama kematian Jong Nam.
Perbicaraan ditangguhkan 1.40 petang dan bersambung semula 6 November ini.
#CCTV #Indonesia #kim jong nam #KLIA2 #Korea Utara #North Korea #suspek #video #Vietnam
;