Rakaman CCTV dipapar terus kepada kakitangan bertugas - Prasarana

Bernama
Februari 18, 2019 12:03 MYT
Rakaman CCTV insiden ragut di dalam lif MRT Taman Mutiara. -Gambar fail
Rakaman visual kamera litar tertutup (CCTV) dari dalam lif dipaparkan terus kepada kakitangan bertugas sebagai langkah pencegahan tambahan susulan insiden ragut di stesen MRT Taman Mutiara baru-baru ini.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan paparan itu di pratetapkan pada skrin utama agar sebarang kejadian dapat dilihat dan diketahui dengan lebih cepat.
"Anggota pasukan tindakan khas (SAT) juga telah ditambah di beberapa lokasi panas. Pasukan SAT adalah unit khas yang ditubuhkan Jabatan Sekuriti Prasarana, dan berpakaian preman ketika melakukan rondaan di kawasan seliaan Rapid KL," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Rapid KL memberikan kerjasama erat dengan pihak polis bagi membantu siasatan berkenaan insiden itu dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga telah diserahkan kepada pihak polis pada pagi hari kejadian.
"Matlamat utama pengendali pengangkutan awam ini adalah membantu pihak polis untuk memberkas penjenayah tersebut," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Rapid KL menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga terhadap keselamatan diri, terutamanya di tempat awam serta mengelak ke laluan atau tempat yang sunyi.
"Pengguna pengangkutan awam kendalian Rapid KL boleh mendapatkan perkhidmatan pengiring untuk ke tempat parkir sekiranya kawasan tersebut sunyi atau sekiranya memerlukan sebarang bantuan," tambah kenyataan itu.
Para pengguna boleh memohon perkhidmatan pengiringan ini dan berhubung dengan kakitangan operasi di pejabat khidmat pelanggan di mana-mana stesen MRT, LRT, Monorel, atau BRT kendalian Rapid KL, jelasnya.
Pada 14 Feb, seorang wanita berusia 48 tahun ditumbuk serta ditendang beberapa kali dalam kejadian samun di dalam lif di MRT Taman Mutiara, Cheras, kira-kira 6.45 pagi.
Mangsa yang mengalami lebam dan kecederaan di bahagian muka, kepala, dan badan telah dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) oleh pegawai Polis Bantuan Prasarana sejurus selepas kejadian tersebut.
#CCTV #MRT #prasarana
;