Rakaman audio: Zahid, Anwar disaran lafaz sumpah di masjid - Annuar Musa

Astro Awani
April 8, 2021 19:09 MYT
Annuar Musa berkata, lafaz sumpah itu boleh menafikan pembabitan Ahmad Zahid dan Anwar Ibrahim dalam rakaman audio yang tular dan mencetus tanda tanya. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa menyarankan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mencontohi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melafazkan sumpah di masjid bagi mempertahankan diri daripada dakwaan yang sedang dihadapi.
Bekas Setiausaha Agung UMNO itu menegaskan, tindakan tersebut, sebagai menafikan pembabitan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dengan satu rakaman audio bersama individu didakwa Anwar tular sejak semalam.
"Kalau nak menyelesaikan kemelut ini mungkin Datuk Seri Zahid boleh contohi Datuk Seri Najib, pergi ke masjid bersama Datuk Seri Anwar dan bersumpahlah.
"Itu satu cara juga, sebab kalau nak tunggu polis siasat lepas tu siasatan tak serupa yang mereka nak, kata pula polis berkonspirasi... tak pasal-pasal pula.
"Jadi takkan selesai sampai bila-bila kerana yang jadi saksi mereka berdua," katanya dalam sidang media sempena pelancaran Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MySmart Wilayah 2030) di sini, pada Khamis.
Rakaman Audio Tular | Zahid Hamidi perlu lafaz sumpah di masjid
BACA: Annuar Musa dakwa rakaman audio mirip suara Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi tulen
Malah Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan bersedia untuk mengaturkan majlis itu sekiranya kedua-dua pemimpin bersetuju.
Pada Rabu, tular satu rakaman audio berdurasi empat minit 17 saat yang tular dalam media sosial, yang antara lain memaparkan suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang lalu, menerusi panggilan telefon.
BACA: Rakaman audio didakwa mirip suara Anwar-Zahid tersebar
BACA: Zahid Hamidi nafi rakaman audio perbualan bersama Anwar Ibrahim
#Zahid Hamidi #Annuar Musa #Anwar Ibrahim #rakaman audio #Tular #UMNO #PKR #PAU 2020
;