"Rakam pesalah trafik, WhatsApp pada kami!"- JPJ
Rahimah Abdullah
Jun 3, 2019 14:31 MYT
Jun 3, 2019 14:31 MYT
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggalakkan pengguna jalan raya membuat aduan kesalahan trafik sepanjang musim perayaan ini secara langsung kepada agensi penguatkuasa itu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, aduan berkenaan boleh disalurkan kepada JPJ melalui rakaman video di lebuh raya menggunakan kamera peribadi atau kenderaan.
Menurut Shaharuddin, JPJ juga mengharapkan pengguna yang ingin membuat aduan agar turut sama memberikan maklumat mengenai kesalahan dilakukan pengguna, tarikh dan nombor kenderaan.
"JPJ juga amat berharap kepada masyarakat yang melihat kesalahan dilakukan di jalan raya tolong hantar segera kepada JPJ dengan maklumat apa kesalahan, tarikh dan nombor kenderaan.
"Kita ada bilik kawalan dan apabila diberitahu (aduan) melalui Whatsapp atau e-mel, kita akan beritahu anggota JPJ dan mereka akan mencari pesalah berkenaan seberapa cepat yang boleh. Kalau ada gambar lagi baik," katanya dalam sidang media selepas melakukan pemantauan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sempena Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019 di sini pada Isnin.
Bagaimanapun, Shaharuddin menegaskan, rakaman aduan dalam bentuk video perlu dilakukan penumpang dan bukan pemandu kenderaan bagi memastikan keselamatan serta mengelak kemalangan daripada berlaku.
"Yang merakam video itu (jika bukan dash cam) mestilah selain daripada pemandu. Pemandu tidak boleh gunakan sebarang gajet semasa memandu," tegas Shaharuddin lagi.
Dalam masa sama, beliau mencadangkan orang ramai juga membuat aduan pada pihaknya berhubung kesalahan penggunaan plat kenderaan 'fancy' bagi membolehkan JPJ mengeluarkan notis.
"Pada hari ini sekiranya ada kenderaan menggunakan plat 'fancy' ini, kita akan pergi ke rumah untuk tempoh 10 hari. Kita tidak akan saman dalam tempoh itu, kita hanya hantar notis untuk dia perbetulkan.
"Tujuannya (supaya) kita senang nak kesan nombor kenderaan ini dan kedua, kita mahu mengelakkan kemalangan kerana penggunaan plat fancy," tambahnya lagi.
JPJ juga, kata beliau, telah mengeluarkan lebih 200 notis dalam masa tiga hari kepada pemandu yang melakukan kesalahan trafik.
"Biasanya aduan yang dibuat adalah melibatkan kesalahan menggunakan lorong kecemasan. Mereka merakam gambar pemandu berkenaan. Malah, ada juga bas yang melakukan kesalahan seperti itu," kata beliau.
Orang ramai dan pengguna jalan raya yang berhasrat membuat aduan boleh berbuat demikian melalui aplikasi WhatsApp di talian 013-449 8997 atau e-mel di aduantrafik@jpj.gov.my.
Bilik Kawalan JPJ di setiap negeri dan ibu pejabat beroperasi 24 jam bagi memantau perjalanan penguatkuasaan yang dijalankan dan menerima aduan orang ramai.